LUMUT – Pendekatan Berasaskan Semula Jadi (NBS) menjadi antara langkah pemuliharaan penyu yang giat dilaksanakan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam usaha melindungi haiwan laut tersebut.
Yang Dipertua MPM, Muhammad Faizal Shah Safian Suri berkata, pendekatan itu melibatkan penanaman vegetasi pesisir seperti pokok ambong-ambong yang membantu menstabilkan struktur pasir pantai dan mengurangkan kadar hakisan pantai.
“Vegetasi menyediakan teduhan semula jadi yang penting bagi mengekalkan kestabilan suhu pasir di kawasan sarang penyu.
“Selain itu, ia turut berfungsi sebagai zon penampan semula jadi bagi mengurangkan gangguan manusia selain membantu mengekalkan kestabilan pasir di kawasan pantai, sekali gus menyokong habitat pendaratan penyu,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Menurutnya, daerah Manjung dikenali antara kawasan pesisir pantai penting di negeri ini yang menjadi lokasi pendaratan penyu semula jadi.
Beberapa kawasan pantai seperti Segari, Pantai Pasir Panjang, Teluk Senangin dan Pulau Pangkor dikenal pasti mempunyai ciri habitat pesisir yang sesuai bagi aktiviti pendaratan serta penetasan telur penyu.
Antara spesies utama yang direkodkan mendarat dan bertelur di kawasan pesisir Manjung ialah penyu agar dan penyu lipas.
“Kehadiran spesies ini menunjukkan ekosistem pesisir di daerah itu masih mempunyai nilai biodiversiti marin yang tinggi dan perlu dipelihara secara berterusan,” katanya.
Usaha memelihara habitat penyu di daerah Manjung turut berdepan beberapa cabaran termasuk hakisan pantai akibat ombak monsun dan perubahan iklim, gangguan aktiviti manusia dan perubahan suhu pasir yang boleh menjejaskan kadar penetasan telur.














