fbpx
Saarani ketika bercakap pada sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Getah klon balak, eucalyptus antara 10 spesies pokok ditanam di ladang hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Jabatan Perhutanan Perak telah mengenal pasti 10 spesies pokok hutan yang sesuai dibangunkan sebagai projek pembangunan ladang hutan di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, spesies pokok tersebut dipilih berdasarkan kesesuaian tapak, kadar pertumbuhan, permintaan pasaran serta potensi pulangan ekonomi.

Beliau berkata, spesies pokok berkenaan ialah batai (Paraserianthes falcataria), getah klon balak (Hevea spp.), khaya (Khaya ivorensis), jati (Tectona grandis), kelampayan (Neolamarckia cadamba) dan binuang (Octomeles sumatrana).

“Selain itu ialah sentang (Azadirachta excelsa), eucalyptus (Eucalyptus spp.), karas (Aquilaria spp.) dan jelutong (Dyera costulata),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu) yang ingin tahu jenis pokok yang paling sesuai ditanam sebagai ladang hutan dan bagaimana dengan hasilnya jika dibandingkan dengan kelapa sawit.

Saarani berkata, bagaimanapun, berdasarkan pelaksanaan semasa oleh pengusaha ladang hutan, tiga spesies utama yang mencatatkan peratusan penanaman tertinggi adalah getah klon balak iaitu lebih kurang 45 peratus, eucalyptus (32 peratus) dan batai (20 peritus).

“Namun begitu, keutamaan masa kini adalah kepada spesies eucalyptus kerana ia mempunyai kadar tumbesaran yang cepat, tempoh matang yang singkat iaitu sekitar 8 hingga 10 tahun serta keperluan penyelenggaraan yang lebih rendah.

“Selain itu, spesies ini juga tahan terhadap pelbagai keadaan tanah termasuk kawasan marginal seperti lereng bukit,” katanya.

Dari segi hasil pula, beliau berkata, ladang hutan eucalyptus dianggarkan mampu menghasilkan sekitar 150 meter padu kayu perhektar bagi satu pusingan tuaian, bergantung kepada amalan silvikultur dan kesesuaian tapak.

“Berhubung perbandingan dengan tanaman kelapa sawit, pokok dari spesies ladang hutan dilihat sebagai satu alternatif yang berdaya maju, khususnya bagi kawasan yang kurang sesuai untuk sawit seperti tanah berbukit atau kurang subur.

“Selain menjana pendapatan, pokok dari spesies ladang hutan juga menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar, pengurangan hakisan tanah serta menyokong industri hiliran berasaskan kayu,” katanya.

Sehubungan itu, Saarani berkata kerajaan negeri menggalakkan pekebun kecil yang mempunyai tanah terbiar atau marginal untuk mempertimbangkan penanaman pokok dari spesies ladang hutan itu sebagai satu sumber ekonomi baharu yang mampan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN