fbpx
GLASNER menjadi buruan Milan yang sedang mencari pengendali baharu selepas memecat Allegri. - AFP

Serie A: Glasner calon utama kendali Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MILAN – AC Milan dilaporkan sudah memulakan langkah awal untuk membentuk era baharu apabila bersedia mengadakan pertemuan dengan Oliver Glasner bagi mengisi kekosongan kerusi jurulatih selepas pemecatan Massimiliano Allegri.

Keputusan itu dibuat susulan kegagalan Rossoneri menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik Serie A musim lalu, sekali gus terlepas tiket ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Glasner muncul sebagai calon pilihan selepas mencipta reputasi cemerlang bersama Crystal Palace apabila membantu kelab itu menjulang Piala FA, Perisai Komuniti dan Liga Konferensi Eropah dalam tempoh singkat.

Dalam masa sama, pemilik kelab, Gerry Cardinale dan penasihat kanan, Zlatan Ibrahimovic turut merancang rombakan besar di peringkat pengurusan dengan bekas pengurus Manchester United, Ralf Rangnick disebut sebagai calon utama untuk mengisi jawatan pengarah sukan.

Rangnick dilihat pilihan ideal kerana pernah bekerjasama dengan Glasner ketika kedua-duanya berada dalam sistem pembangunan Red Bull Salzburg, sekali gus memudahkan usaha membentuk hala tuju yang lebih selaras buat Milan.

Gabungan Glasner dan Rangnick dianggap mampu mengembalikan semula kegemilangan kelab yang kali terakhir menjuarai Serie A pada musim 2021/22.

Bagi Glasner, peluang mengendalikan Milan bakal menjadi cabaran terbesar sepanjang karier kejurulatihannya selepas sebelum ini pernah membimbing Wolfsburg, Eintracht Frankfurt serta Crystal Palace. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN