fbpx
Pendingin hawa bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian dalam berhadapan dengan cuaca panas kerana penggunaannya melibatkan kos tinggi. - GAMBAR HIASAN

Bahang cuaca uji ‘poket’ rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM suasana semasa yang sarat dengan pelbagai isu termasuk krisis bahan api dan kenaikan kos perkhidmatan logistik, penulis mahu mengupas satu realiti lebih dekat dengan kehidupan harian, namun kurang mencetuskan polemik.

Walaupun isu minyak terus menjadi antara topik utama perbincangan kerana kesannya terhadap perbelanjaan isi rumah, terdapat satu lagi cabaran yang kini dirasai secara langsung oleh masyarakat iaitu cuaca panas yang semakin membahang.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan, malah turut memberi kesan kepada kualiti hidup, khususnya ketika waktu rehat pada sebelah malam. Situasi itu mendorong sebahagian individu mengambil langkah drastik demi memastikan keselesaan keluarga.

Sebagai contoh, seorang rakan penulis sanggup membelanjakan lebih RM5,000 pada minggu lalu bagi mendapatkan dua unit pendingin hawa melalui kemudahan bayaran ansuran selepas anak-anaknya mengadu sukar tidur akibat cuaca terlalu panas.

Namun, kebergantungan kepada pendingin hawa bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian. Selain melibatkan kos tinggi, penggunaannya secara berterusan juga memberi kesan kepada bil elektrik bulanan.

Dalam konteks ini, pendekatan alternatif yang lebih lestari dan menjimatkan wajar dipertimbangkan, antaranya meletakkan tanaman hiasan di dalam rumah sebagai salah satu kaedah penyejukan semula jadi.

Secara saintifik, tumbuhan berupaya membantu mengurangkan bahang melalui proses transpirasi, iaitu pelepasan wap air daripada daun yang menyerap haba di persekitaran sekali gus meningkatkan keselesaan ruang dalaman.

Pensyarah Kanan Jabatan Seni Bina Landskap, Universiti Putra Malaysia, Dr. Aini Jasmin Ghazalli berkata, tanaman mempunyai peranan dalam mempengaruhi suhu persekitaran dalaman dan perkara itu telah dibuktikan menerusi pelbagai kajian.

Bagaimanapun menurut beliau, faktor kelembapan dan suhu perlu difahami secara menyeluruh kerana kedua-duanya saling berkait, khususnya dalam iklim panas dan lembap seperti di Malaysia.

“Apabila memperkenalkan pokok dalam ruangan, ia akan meningkatkan kelembapan udara dan seterusnya mempengaruhi suhu. Bagi ruang tertutup, kelembapan yang terlalu tinggi perlu dielakkan kerana ia boleh menggalakkan pertumbuhan spora dalam persekitaran dalaman.

“Sehubungan itu, penggunaan tanaman sebagai mekanisme penyejukan perlu disokong dengan sistem pengudaraan yang baik,” katanya.

Tambahnya, pemilihan dan kedudukan tanaman dalam rumah juga perlu mengambil kira faktor pencahayaan kerana cahaya merupakan elemen utama bagi memastikan tumbuhan dapat hidup dengan baik.

“Setiap jenis pokok mempunyai keperluan cahaya yang berbeza, justeru pemilihan perlu dibuat dengan teliti mengikut kesesuaian ruang,” jelasnya.

Antara tanaman yang sesuai termasuk pokok tahan lasak seperti lidah mentua (sansevieria) dan sirih gading (pothos), selain tanaman hiasan popular seperti monstera dan philodendron.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN