PETALING JAYA – Kenaikan harga minyak diesel tanpa subsidi kepada RM6.72 seliter pada masa ini, turut ‘menekan’ pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengurusan jenazah dan ambulans komuniti dalam memberi khidmat percuma kepada masyarakat.
Menerusi perkongsian seorang sukarelawan, Ahmad Nazrul daripada Pertubuhan Amal Komuniti Besut by JNZA Gaung Global berkata, beberapa NGO pengurusan jenazah percuma juga telah membuat pengumuman rasmi bahawa, kos bahan api untuk penghantaran jenazah perlu ditanggung separuh oleh waris si mati.
“Jika dulu, ia adalah perkhidmatan percuma sahaja dan waris tidak perlu membayar hatta satu sen pun, walaupun perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan atau dari Terengganu ke Johor Bahru.
“Kebanyakan van jenazah mereka adalah Toyota Hiace dan juga Hyundai Starex menggunakan minyak diesel. Kenaikan harga minyak terkini tidak mampu lagi pertubuhan mereka tanggung sepenuhnya,” katanya pada hantaran Facebook.
Ahmad Nazrul berkata, pertubuhan-pertubuhan ini tidak kaya seperti NGO lain yang mana ada ratusan ribu ringgit di dalam akaun bank hasil daripada dana awam.
“Pertubuhan ini bergerak dengan sedikit dana awam dan selebihnya ditanggung oleh pengasas pertubuhan tersebut. Pertubuhan kami setakat hari ini masih mampu menangung kos petrol van jenazah dan ambulans.
“Baru sekejap tadi saya isi RM150 minyak dan dapat 35 liter sahaja. Untuk full tank (tangki penuh) 65 liter, saya perlu bayar RM277,” katanya.
Ahmad Nazrul berkata, pertubuhannya masih dalam proses memohon fleet card dan dijangka akan menerima 800 liter subsidi sebulan.
“Angka itu terlalu kecil sebenarnya jika nak dibandingkan dengan pergerakan ambulans dan van jenazah kami setiap hari. Purata pergerakan 11 van jenazah dan empat ambulans pertubuhan kami adalah lebih 8,000 kilometer sebulan.
“Ini termasuk pergerakan harian empat ambulans dari pagi untuk ambil pesakit terlantar dan hantar ke hospital bagi temu janji, manakala pada sebelah petang dan malam untuk proses keluar dari wad dan pulang ke rumah,” katanya.
Ahmad Nazrul berkata, untuk penghantaran jenazah jarak jauh biasanya perjalanan mencecah 700 kilometer (km) hingga 1,000 km pergi dan balik.
“Mari kita sama-sama berdoa agar konflik perang ini berakhir dengan segera dan NGO yang menguruskan jenazah secara percuma boleh kembali menguruskan jenazah 100 peratus secara percuma semula,” katanya.
Terdahulu, harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 hingga 15 April dilaporkan meningkat kepada RM6.72 seliter, berbanding RM6.02 sebelum ini.
Kementerian Kewangan dipetik berkata, harga RON97 tanpa subsidi pula meningkat kepada RM5.35 seliter, manakala RON95 meningkat kepada RM4.27 seliter.
Harga minyak mentah global melonjak sejak lima minggu lalu susulan krisis tenaga di Asia Barat yang meningkatkan kos petroleum serta kos berkaitan termasuk logistik dan insurans. – KOSMO! ONLINE














