PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Nash dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang selepas mengalami serangan jantung pagi tadi, namun keadaannya kini dilaporkan stabil.
Berita mengejutkan itu dikongsikan Presiden Konsortium Industri Rakaman Music Malaysia (Irama), Ayob Abd Majid Yang memaklumkan vokalis kumpulan Lefthanded itu telah selesai menjalani prosedur rawatan jantung.
“Assalamualaikum, mohon doa semua. Kejadian berlaku awal pagi tadi. Anak Nash, Shameer, beritahu saya bapanya mengalami serangan jantung pagi tadi sebelum dibawa ke hospital.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan Nash sudah menjalani pembedahan petang tadi dan keadaannya kini stabil.
“Dia kini sedang menjalani rawatan di hospital dan buat masa ini belum boleh menerima pelawat,” katanya dalam hantaran Facebook.
Tambah Ayob, prosedur tersebut dilakukan selepas pemeriksaan mendapati saluran jantung pelantun lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu tersumbat.
“Shameer beritahu pembedahan perlu dilakukan kerana 80 peratus saluran jantungnya tersumbat.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar beliau segera sembuh. Semoga segala urusan dipermudahkan dan dikurniakan kesihatan yang baik,” tuturnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat serta rakan industri menitipkan doa agar Nash kembali sihat dan terus menghiburkan peminat dengan karya seni malar segar. – KOSMO! ONLINE














