BENTONG – Baru masuk musim, musang king sudah dijual serendah RM15 sekilogram di sini.
Sebelum ini jika musim baharu durian bermula, biasanya harga durian musang king akan dijual dengan harga terendah kira-kira RM28 sekilo sebelum menurun ketika puncak pengeluaran sehingga RM10 sekilogram.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! mendapati musang king gred C dijual dengan harga RM15 sekilogram manakala bagi gred B dengan harga RM25 sekilogram manakala gred A dengan harga RM30 sekilogram.
Penjual durian Mohammad Nafri Masrom,38, berkata, dia yang telah menjual durian sejak dua minggu lalu dapat menjual dengan harga yang murah berdasarkan kepada harga kebun yang lebih baik pada musim ini.
“Alhamdulillah mula musim kali ini saya sudah dapat menjual dengan harga serendah RM15 sekilogram manakala durian musang king B kita jual empat kilogram RM100.
“Setakat ini kualiti buah adalah baik dan sambutan peminat durian pada permulaan musim ini adalah baik,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya pada masa ini buah durian musang king adalah daripada ladang di Karak, Manchis, dan Telemong di Bentong manakala durian musang king dari Raub masih belum bermula.
Katanya, pada peringkat permulaan ini dia dapat menjual kira-kira 700 kilogram sehari dan dijangka permintaan akan meningkat.
Dalam pada itu dia berkata, musim durian pada kali dijangka berpanjangan hingga ke penghujung Jun sekali gus memberi peluang kepada penggemar durian menikmati raja buah itu.
“Pengeluaran kali ini dijangka mendatar dan orang ramai dapat menikmati durian dengan harga yang berpatutan,”ujarnya.















