SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Jawatankuasa Tertinggi membuat keputusan penangguhan Sukan Malaysia (Sukma) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau percaya Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi telah membangkitkan perkara itu dalam beberapa mesyuarat sebelum ini.
“Saya juga percaya KBS akan bertindak dengan membuat keputusan sebaik mungkin. Yang pentingnya persediaan atlet kita bagi Sukan Sea 2027 tidak terganggu kerana Sukma menjadi medium mengenalpasti dan menentukan kebolehan serta pencapaian mereka,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berpandangan penganjuran Sukma wajar ditangguhkan sehingga krisis Asia Barat selesai dan pembinaan Stadium Shah Alam disiapkan sepenuhya.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari sebelum ini mengumumkan temasya sukan itu akan tetap berlangsung mengikut jadual dari 15 hingga 24 Ogos depan namun pada skala lebih kecil. – KOSMO! ONLINE














