fbpx

Stone Turtle, ‘thriller’ Melayu Pantai Timur masuk Locarno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENCALONAN dalam Festival Filem Antarabangsa Locarno menandakan permulaan perjalanan filem Stone Turtle di pentas perfileman antarabangsa.

FILEM terbaharu arahan Woo Ming Jin, Stone Turtle terpilih ke pertandingan utama ‘Concorso Internationale’ di Festival Filem Antarabangsa Locarno.

Penyertaan Stone Turtle ke festival tersebut sekali gus mencipta sejarah sebagai filem bahasa Melayu pertama bertanding dalam acara yang dianggap antara lima festival filem paling berprestij di dunia.

Selain bertanding untuk anugerah utama yang dikenal sebagai Golden Leopard, Woo Ming Jin turut bertanding untuk anugerah Pengarah Terbaik, manakala pasangan hero heroin Bront Palarae dan bintang Indonesia Asmara Abigail akan bertanding untuk kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.

Selain Bront dan Abigail, Stone Turtle turut dibintangi Amerul Affendi, Maisyarah Mazlan, Samara Kenzo dan Alison Khor.

PASANGAN hero dan heroin Stone Turtle, Bront dan Asmara Abigail tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik dalam Festival Filem Antarabangsa Locarno tahun ini.

Bagi Woo Jin, pencalonan dalam Festival Filem Antarabangsa Locarno menandakan permulaan perjalanan filem berkenaan ke pentas antarabangsa.

“Kami tidak sabar untuk menayangkan filem kami bersama pembikin-pembikin filem hebat di Locarno.

“Stone Turtle bercerita tentang keterangkuman dan keupayaan untuk mengambil risiko. Ini secara langsung mencerminkan semangat di sebalik pembikinan filem ini. Filem kami mengetengahkan bakat-bakat hebat dari negara yang berbeza. Kami juga membikin filem ini untuk memelihara cerita-cerita rakyat.

“Saya menantikan hari apabila Stone Turtle ditayangkan di lokasi tersohor Piazza Grande di Locarno, sebuah tempat tayangan terbuka yang mempunyai kapasiti 8,000 penonton,” katanya.

Sebagai bintang utama bahkan menjadi wajah Malaysia di mata dunia, Bront sendiri tidak sabar untuk berkongsi paparan Stone Turtle bersama khalayak dunia.

“Ini berita yang sangat baik, bukan sahaja untuk pasukan Stone Turtle tetapi juga untuk industri perfileman Malaysia. Saya gembira untuk Ming Jin dan seluruh pasukan,” ujar Bront.

BRONT PALARAE ketika beraksi dalam sebuah adegan dalam filem Stone Turtle.

Stone Turtle merupakan sebuah naskhah thriller dramatik yang menggabungkan aksi langsung dan animasi. Naskhah berkenaan menceritakan kisah kembara masa seorang wanita dan lelaki Pantai Timur yang terjerat dalam kancah disepsi berbahaya.

Diterbitkan oleh Greenlight Pictures, penggambaran Stone Turtle bermula di Terengganu pada Januari 2022 dan selesai pada bulan yang sama.

Filem yang melibatkan Edmund Yeo, pembikin filem tersohor yang kerap bekerja di Jepun dan Malaysia sebagai penerbit dan editor, filem berkenaan turut meminjam khidmat pembikin filem Flower in the Pocket dan Lelaki Harapan Dunia, Liew Seng Tat dalam sudut penataan seni.

Woo Ming Jin, Edmund Yeo, Bront Palarae dan Asmara Abigail dijangka menghadiri festival tersebut yang akan bermula pada 3 Ogos dan berakhir pada 13 Ogos depan.

FILEM Stone Turtle bercerita tentang kembara masa seorang wanita dan lelaki Pantai Timur yang terjerat dalam kancah disepsi berbahaya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI