fbpx

Gunung berapi meletus di Filipina, penduduk diarah berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah kampung di bandar Juban yang dilitupi dengan debu daripada letusan gunung berapi Bulusan, hari ini. - AFP

MANILA – Sebuah gunung berapi meletus di timur Filipina, yang membebaskan awan gelap  sekali gus memaksa pihak berkuasa melaksanakan kerja-kerja pemindahan penduduk ketika amaran letusan susulan dikeluarkan.

Letusan dari gunung berapi Bulusan di wilayah pedalaman Sorsogon berlangsung selama 17 minit, yang membebaskan kepulan asap berwarna kelabu sehingga sekurang-kurangnya satu kilometer (km), demikian menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran 1 pada sistem lima peringkat yang bermaksud ‘peringkat rendah’.

“Terdapat letusan freatik pada gunung berapi Bulusan, yang bermaksud letusan disebabkan oleh air mendidih di bawah kawah,” kata ketua institut tersebut, Renato Solidum kepada radio tempatan, DZBB.

Tambahnya, debu daripada letusan itu turut menjejaskan dua buah pekan di Sorsogon, kira-kira 500 km di selatan Manila, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Di bandar Juban, dua buah kampung mengalami keadaan ‘keterlihatan sifar’ disebabkan oleh debu tebal. Jentera bomba telah dikejarkan ke kawasan itu.

“Proses pemindahan penduduk juga sedang berlaku dan keutamaan kami adalah warga emas serta pesakit asma,” kata seorang petugas pejabat bencana, Dennis Despabiladeras.

Pihak berkuasa turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mendekati kawasan dalam radius 4 km dengan gunung berapi tersebut.

Penduduk berhampiran lembah dan sungai turut diarah berjaga-jaga terhadap aliran lumpur dan air sungai yang deras sekiranya berlakunya hujan lebat.

Dalam pada itu, pihak berkuasa lapangan terbang Manila berkata, tiada sebarang penerbangan yang terjejas dengan letusan gunung berapi tersebut buat masa ini, namun juruterbang telah diingatkan agar tidak menghampiri kawasan kejadian. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI