MANILA – Angka kematian tragedi bangunan yang sedang dalam pembinaan runtuh dekat Manila meningkat kepada tiga orang hari ini, dengan 17 mangsa lain dipercayai masih hilang, kata pihak berkuasa.
Dua pekerja yang tersepit di bawah runtuhan ditemui masih hidup selepas bangunan sembilan tingkat itu runtuh semalam dan menghempap sebuah hotel berhampiran, menyebabkan seorang rakyat Malaysia terkorban.
Namun, dua pekerja yang terperangkap di tapak berkenaan di Angeles, utara Manila, itu meninggal dunia tidak lama kemudian walaupun usaha menyelamat dilakukan.
“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan hidup-hidup, tetapi malangnya, dia kemudian meninggal dunia.
“Seorang lagi mangsa mengalami serangan jantung sekitar pukul 3 pagi(waktu tempatan). Doktor tidak dapat merawatnya kerana dia masih tersepit,” kata jurucakap jabatan bomba tempatan, Maria Leah Sajili.
Menurutnya, seramai 17 mangsa lain masih hilang. Kebanyakan mereka ialah pekerja binaan yang sedang tidur di tapak bangunan ketika bencana berlaku.
Punca bangunan itu runtuh belum diketahui.
Beberapa pegawai berkata, kira-kira 70 orang bekerja di tapak pembinaan tersebut, walaupun kebanyakan mereka telah pulang ke rumah untuk bercuti hujung minggu.
Seorang mangsa dikenali sebagai Alfredo Albis, 55, berkata, dia sedang tidur di berek pekerja kira-kira 5 meter dari struktur tersebut apabila ia runtuh.
“Dua sepupu saya masih terperangkap. Mereka bekerja untuk mencari rezeki buat keluarga dan mereka hilang,” katanya.
Sajili pula memberitahu, usaha menyelamat bencana bangunan runtuh sangat mencabar kerana sebarang peralihan mengejut yang dicetuskan oleh pergerakan anggota-anggota penyelamat boleh menyebabkan mangsa dihempap.
Pergerakan mengejut juga mencetuskan risiko anggota penyelamat tertimbus, katanya ketika menjelaskan mengapa operasi menyelamat perlu dilakukan secara manual.
Pasukan penyelamat kini menggunakan alat pengimbas haba untuk memeriksa jika terdapat tanda-tanda mangsa masih hidup, katanya lagi.
Jika tiada lagi mangsa terselamat ditemui, barulah jengkaut dan peralatan berat lain akan dibawa masuk untuk membersihkan serpihan dan membawa keluar mayat mangsa, ujarnya tanpa memberikan garis masa. – AFP














