PETALING JAYA – Hari pertama sesi persekolahan selepas cuti dua minggu bertukar cemas bagi seorang guru di Sabah apabila menerima amaran tsunami ketika sedang mengajar susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina pagi tadi.
Menerusi perkongsian di Threads, guru menggunakan akaun @wa_scha berkata, dia pada awalnya bersedia untuk kembali menjalani rutin persekolahan selepas cuti panjang, namun situasi berubah apabila merasai gegaran ketika berada di dalam kelas.
“Hari pertama sekolah selepas dua minggu cuti sekolah. Baru nak mula ‘Monday blues’ terus tarik balik, tak jadi nak ‘Monday blues’.
“Tiba-tiba keluar amaran tsunami dan gempa bumi dijangka melanda dekat tempat bertugas. Rasa gegar pening tengah mengajar tadi,” katanya.
Menurutnya, pengalaman merasai gegaran ketika sedang mengendalikan sesi pembelajaran menyebabkan suasana menjadi cemas, terutama apabila amaran tsunami turut dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Semoga semua sahabat di kawasan Sabah yang terlibat dilindungi Allah,” tulisnya.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang berkongsi pengalaman masing-masing merasai gegaran si Sabah akibat gempa bumi berkenaan.
“Pagi tadi nak pergi kerja, dalam kereta memang berasa gegar. Ini kawasan Tawau,” kata Maslan.
“Tawau terasa betul gegarannya,” kongsi Riyana.
“Sini Kunak rasa gegaran itu, bergegar rumah,” kata Aysah Johan.
Terdahulu, siren nasihat tsunami turut kedengaran di Tawau, Sabah yang meminta penduduk berwaspada serta menjauhkan diri dari kawasan pantai dan muara sungai susulan gempa bumi kuat yang berlaku di Mindanao.
Video bunyi siren dan pengumuman amaran itu turut dikongsikan oleh pihak Masjid Al-Kauthar Tawau menerusi Facebook, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat. – KOSMO! ONLINE














