fbpx

Klopp ada pilihan ganti Fabinho aksi final Piala FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FABINHO (kanan) berdepan masalah kecederaan otot menyebabkan dia terlepas aksi final Piala FA menentang Chelsea malam ini. – AFP

LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan bahawa tonggak bahagian tengah pasukannya, Fabinho bakal terlepas aksi final Piala FA menentang Chelsea malam ini di Wembley ekoran masalah kecederaan.

Pemain antarabangsa Brazil itu mengalami kecederaan otot ketika membantu The Reds menewaskan Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi Rabu lalu, sekali gus hampir pasti tidak sempat untuk pulih.

“Masih ada peluang untuk dia kembali beraksi musim ini, tetapi saya tidak fikir dia akan sempat cergas menjelang perlawanan final Piala FA.

“Bagi aksi final Liga Juara-Juara, peluang untuk Fabinho diturunkan tetap ada dan kita akan lihat perkembangan proses pemulihannya nanti,” katanya.

Fabinho menjadi nadi pen­ting skuad kendalian Klopp sejak melengkapkan penghijrahannya dari Monaco pada 2018, selain berjaya menjulang beberapa kejuaraan termasuk Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah dan Piala Liga Inggeris.

Musim ini menyaksikan pemain berusia 28 tahun itu sudah membuat 47 penampilan bersama Liverpool dan mereka masih kekal dengan misi mencipta sejarah dengan memburu empat trofi kejuaraan musim ini.

Kehilangan Fabinho menyebabkan Klopp mungkin terpaksa mengubah sedikit formasi pasukan sekiranya memilih untuk menggunakan Naby Keita apabila dua lagi pemain, Thiago Alcantara dan Jordan Henderson perlu beroperasi di kawasan tengah bertahan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Fabinho.

Alcantara dan Henderson akan diberikan peranan untuk mengawal tempo permainan sementara Keita pula akan bertugas untuk merancang permainan termasuk melakukan hantaran-hantaran penting kepada jentera serangan Liverpool. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI