fbpx

Dua beradik beraya di balai raya tanpa baju baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAMALIAH (kanan) dan Saadiah (kiri) ketika ditemui di Balai Raya Kampung Mambang Berulang, Temerloh semalam.

TEMERLOH – Dua beradik warga emas bukan sahaja masih me­numpang di balai raya ­sejak ­Januari lalu selepas rumah mereka di Kampung Mambang Berulang di sini musnah akibat dibadai banjir akhir tahun lalu, malah lebih menyedihkan apabila mereka tidak mampu untuk membeli pakaian raya baharu.

Bagi Jamaliah Kassim, 71, dan adiknya, Saadiah Kasim, 69, sambutan Aidilfitri kali ini tiada erti buat mereka meskipun ramai orang sedang bergembira untuk meraikan hari raya.

Jamaliah berkata, sambutan Aidilfitri tiada makna kepada mereka yang masih tidak mempunyai rumah dan hidup ala kadar dengan hanya mengharap­kan bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Macam mana hendak beli baju raya, kami dua beradik tiada duit walaupun baju yang dijual pa­ling murah kerana duit bantuan habis untuk keperluan makanan supaya kami tidak berlapar.

“Malah, untuk menikmati juadah berbuka puasa yang enak pun janganlah bermimpi kerana kami tiada duit untuk membeli­nya, lagi pun bazar jauh dan perlu menyeberang jambatan Sungai Semantan yang rosak,” katanya di Balai Raya Kampung Mambang Berulang di sini semalam.

Menurut Jamaliah, dia dan adiknya pasrah tinggal di balai raya, namun berharap agar bantuan rumah baharu dapat di­segerakan.

“Kami sangat berterima kasih kepada ketua kampung yang membenarkan kami tinggal di balai raya berbanding tinggal di khemah sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, Saadiah me­ngakui berasa sedih dan sayu apabila terpaksa menumpang di balai raya ketika hari raya serta tidak mampu membeli pakaian baharu kali ini.

“Saya seperti insan lain yang turut mempunyai perasaan memiliki baju baharu walaupun yang paling murah,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh me­nyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Jamaliah Kassim iaitu 06500-41-00007670-2.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI