fbpx
SEBAHAGIAN peserta RXZ Members 8.0 mengambil peluang merakam gambar berlatarbelakang Jambatan Angkat Kuala Terengganu semalam.

Peserta RXZ Members 8.0 ‘dipukau’ keindahan Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Rata-rata peserta RXZ Members mahu ­program perhimpunan peminat motosikal Yamaha RXZ tersebut terus dikekalkan di Terengganu berikutan kemeriahannya yang didakwa sukar diperoleh di tempat lain.

Mereka sanggup menunggang motosikal Yamaha RXZ berjam-jam berikutan terpesona dengan panorama Terengganu, terutamanya keramahan penduduknya yang dianggap luar biasa.
Yusri Abd. Ghani, 45, yang menyertai RXZ Members sejak penganjuran kali pertama pada tahun 2017 mengakui, suasana di Terengganu sukar ditandingi biarpun perhimpunan motosikal Yamaha RXZ hampir sama pernah dianjurkan di negeri-negeri lain.

“Saya pernah beberapa kali menyertai perhimpunan motosikal Yamaha RXZ di negeri-negeri lain, tetapi suasananya tidak sama seperti RXZ Members di Terengganu.

‘‘Vibe (suasana) di Terengganu ini sukar digambarkan dan tidak boleh diperoleh di tempat-tempat lain,” katanya ketika ditemui di Litar Permotoran Terengganu di sini semalam.

Seorang lagi peserta, Abdul Samad Mustapha, 38, pula berkata, keramahan rakyat Terengganu yang tidak lokek berkongsi rezeki dengan peserta menjadi antara faktor dia seronok me­nyertai RXZ Members di negeri ber­kenaan.

“Semalam (kelmarin), saya dijamu makanan percuma oleh rakyat Terengganu dari pagi hingga ke malam.

“Bukan setakat makanan, sebahagian penduduk turut menawarkan tempat tidur percuma kepada peserta RXZ Members biarpun tidak pernah mengenali antara satu sama lain sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, keramahan dan keikhlasan dipamerkan penduduk setempat membuatkan dia dan rakan-rakan amat terharu dan terpaut hati untuk menjadikan Terengganu destinasi wajib dikunjungi.

Dalam pada itu, penganjur RXZ Members 8.0, Mohamad Faizal Mat Ali mengakui mene­rima maklum balas peserta agar perhimpunan tersebut terus dikekalkan di negeri
tersebut.

“Kami pernah cuba untuk bawa RXZ Members ke negeri-negeri lain, tetapi rata-rata peserta tetap mahu ia diadakan di Terengganu.

“Ia membuatkan kami akur, lagi RXZ Members sudah sinonim dengan negeri Terengganu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN