fbpx
SARKY yang kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Knight Frank Malaysia muncul dengan buku bertajuk The Other Side of Obstacles.

SPM agregat 38, pernah kerja cuci lantai hospital, kini tokoh hartanah negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kejayaan pasti mempunyai kisah yang membentuk perjalanan seseorang. Ada yang dilalui dengan mudah, namun tidak kurang juga terpaksa menempuh pelbagai cabaran sebelum berjaya membina nama dalam bidang yang diceburi.

Perjalanan itulah yang dikongsikan oleh tokoh hartanah negara, Sarkunan Subramaniam menerusi memoir The Other Side Of Obstacles.

Buku yang dilancarkan di ibu pejabat Knight Frank Malaysia di Kuala Lumpur itu mengangkat kisah kehidupan Sarkunan atau lebih mesra disapa Sarky yang kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Knight Frank Malaysia.

Memoir tersebut bukan sahaja merakamkan perjalanan peribadinya, malah menghimpunkan pengalaman sepanjang lebih empat dekad beliau dalam industri hartanah.

Menurut Sarky, The Other Side Of Obstacles bukanlah sebuah kisah kejayaan korporat semata-mata, sebaliknya catatan jujur mengenai perjalanan hidup yang dipenuhi cabaran, perubahan kerjaya dan pengalaman membentuk kepimpinan.

“Buku ini merupakan catatan jujur mengenai kepimpinan yang berlaku tanpa dirancang, perubahan daripada seorang jurunilai teknikal kepada profesional agensi hartanah serta falsafah yang membawa Knight Frank Malaysia menjadi peneraju pasaran,” katanya ketika majlis pelancaran buku berkenaan.

Memoir itu turut mengetengahkan perjalanan hidup Sarky yang tidak konvensional.

SARKY (duduk) merakam gambar kenangan bersama tetamu yang hadir ketika melancarkan buku The Other Side Of Obstacles
di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bermula dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang hampir gagal dengan agregat 38, beliau kemudian berusaha membina masa depan melalui pendidikan di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia.

Sepanjang berada di Melbourne, beliau melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mencuci lantai hospital dan memandu teksi bagi membiayai pengajiannya.

Pengalaman tersebut menjadi antara detik penting yang membentuk ketabahan dirinya sebelum memulakan kerjaya profesional.

Buku itu turut mengimbas pengalaman beliau ketika berkhidmat di Valuer General’s Office (VGO) di Victoria, Australia.

Dalam tempoh tersebut, beliau menyeimbangkan antara pekerjaan sepenuh masa dengan kelas pada waktu malam, sekali gus membina asas pengetahuan teknikal yang menjadi kekuatan dalam kerjayanya sebelum kembali ke Malaysia.

Disusun dalam empat bahagian merangkumi 26 bab serta galeri foto, The Other Side Of Obstacles membawa pembaca menelusuri zaman kanak-kanak Sarky hinggga dewasa, persimpangan penting ketika di universiti, langkah awal dalam dunia profesional serta perjalanan beliau bersama Knight Frank Malaysia.

Majlis pelancaran buku itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden dan Penaung REHDA, Datuk Seri Dr. Michael Yam yang menulis kata pengantar memoir berkenaan.

Lebih 100 tetamu hadir memeriahkan acara tersebut termasuk penuntut universiti, pensyarah, rakan kongsi Knight Frank Malaysia, rakan sekerja, sahabat serta ahli keluarga Sarky.

Diterbitkan sebagai sumber inspirasi kepada generasi pemimpin muda, usahawan dan individu yang sedang berdepan cabaran dalam membina atau memulakan semula kerjaya, The Other Side Of Obstacles ditawarkan pada harga RM50 senaskhah dengan caj penghantaran RM10 bagi pembelian dalam Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN