LONDON – Bintang Chelsea, Mykhailo Mudryk boleh menarik nafas lega apabila dibenarkan kembali beraksi serta-merta selepas kes dopingnya diselesaikan Persatuan Bola Sepak England (FA) bersama Agensi Anti-doping Dunia (WADA).
Sebagai rekod, Mudryk dikenakan penggantungan empat tahun sehingga 2028 selepas gagal ujian doping pada Oktober 2024 sebelum mengheret keputusan tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Namun, FA sudah mencapai persetujuan bersama WADA dengan Mudryk menerima bahawa dia melakukan pelanggaran peraturan antidoping yang dikenakan dan bersetuju dengan tempoh penggantungan yang telah dijalani hampir dua tahun.
Pemain antarabangsa Ukraine itu mengakui lega dapat kembali menyarung jersi The Blues selepas mengharungi fasa paling sukar dalam kariernya.
“Saya bersyukur proses ini akhirnya menemui noktah dan sudah mendapat kebenaran untuk kembali bermain bola sepak sekali gus fokus mengharungi masa depan.
“Seperti yang saya tegaskan sejak awal kes ini, saya tidak pernah mengambil sebarang bahan terlarang secara sengaja atau dengan niat.
“Komitmen saya untuk bersaing secara adil serta mewakili kelab dan negara dengan profesional dan integriti sangat penting bagi saya,” kata pemain berusia 26 tahun itu.
Mudryk menyertai Chelsea daripada Shakhtar Donetsk pada 2023 dengan nilai perpindahan sebanyak £62 juta (RM364 juta) telah digantung sejak November 2024. – AGENSI














