MANCHESTER – Manchester United wajar beri ‘nyawa kedua’ buat Marcus Rashford membuktikan keupayaan di Old Trafford selepas gagal menarik minat daripada mana-mana pasukan pada jendela perpindahan kali ini.
Pemain antarabangsa England berusia 28 tahun itu dijangka kembali menjalani latihan bersama United selepas menghabiskan tempoh pinjaman di Barcelona musim lalu.
Bagaimanapun, The Catalan tidak berminat untuk menandatangani Rashford secara tetap walaupun berjaya meledak 14 gol dan 14 bantuan jaringan termasuk membantu pasukan menjulang kejuaraan La Liga.
Bekas pemain The Red Devils, Paul Ince berharap pengurus pasukan, Michael Carrick dapat memberi ruang untuk Rashford menghidupkan semula kariernya di England
“Saya rasa Carrick boleh mendapatkan prestasi yang terbaik daripada Rashford. Jika Carrick dapat memberikan motivasi serta semangat baharu padanya, saya percaya kita akan melihat kualiti sebenar Rashford untuk United,” katanya.
Pandangan itu turut dipersetujui seorang lagi bekas bintang United, Wes Brown yang optimis kehadiran Rashford akan memberikan Carrick satu lagi pilihan berkualiti di jentera serangan.
“Saya pasti Carrick mahu dia kembali kerana dia dapat memberikan dimensi berbeza. Jika dia kembali dan bermain musim ini, dia dapat membantu pasukan,” katanya.
Kali terakhir Rashford beraksi untuk United pada Disember 2024 sebelum dipinjamkan ke Aston Villa dan Barcelona. – AGENSI














