fbpx
NASKHAH Ambulance menyaksikan Jake Gyllenhaal beraksi sebagai perompak yang cuba melepaskan diri dengan menaiki sebuah sebuah ambulans.

‘Letupan’ kartel Michael Bay dalam Ambulance

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERADA dalam situasi rumit untuk melangsaikan hutang rawatan hospital isteri tersayang, seorang lelaki terpaksa memilih jalan hitam dan bekerjasama dengan adik-beradik angkatnya merompak sebuah bank di Los Angeles dan berjaya membawa keluar wang tunai berjumlah AS$32 juta.

Entah bagaimana dalam usaha meloloskan diri, Danny dan Will ‘terperangkap’ dalam sebuah ambulans dan biarpun mempunyai niat jahat iaitu merompak, mereka tetap berjiwa nurani memastikan tebusan dalam kenderaan berkenaan terus hidup.

Begitulah sedikit sinopsis filem terbaharu arahan pengarah prolifik, Michael Bay berjudul Ambulance yang dibintangi Jake Gyllenhaal dan Yahya Abdul-Mateen II.

Sejujurnya, Ambulance merupakan satu lagi karya Michael yang bersifat ‘over the top’ dan terkandung banyak kekeliruan.

Tidak salah bermimpi menzahirkan sebuah karya yang berdentam-dentum sini sana, namun perihal tersebut perlu diselaraskan dengan kualiti naratif yang bagus.

AKSI kejar-mengejar, tembakan dan letupan menjadi fokus utama pembikin Transformer, Michael Bay menerusi filem Ambulance.

Mudah diramal

Bukan bermaksud Ambulance filem yang tidak seronok ditonton di panggung wayang tetapi terdapat beberapa kelemahan yang sepertinya sudah lazim dilakukan pengarah berpengalaman seperti Michael.

Dalam hati kecil penulis sewaktu menonton, janganlah kenderaan terlibat dalam filem ini bertukar menjadi Transformers.

Sebagai seorang peminat dunia sinematik, jalan cerita Ambulance sudah boleh diramal dari awal sampailah ke penghujung filem. Sudah boleh agak siapa yang ‘khianati’ siapa menjelang detik klimaks perjalanan cerita

Itu barangkali kelemahan dari segi skrip dan pengarahan. Penulis secara peribadi, tidaklah mengharapkan plot twist (pusingan plot) yang terlalu tinggi ambisinya, namun kalau tengok 20 minit sudah boleh dijangka naratif seterusnya, filem yang ditonton mudah tergelincir daripada rating markah cemerlang dari kacamata audiens.

Dari segi kualiti lakonan dan terjemahan karakter, Jake dan Yahya sebagai duo ‘adik-beradik’ tidaklah mengecewakan, namun entah mengapa, rasa macam kurang keserasian.

KESERASIAN antara Jake Gyllenhaal dan Yahya Abdul-Mateen II tidak terlalu berbekas.

Mungkin penulis sudah acapkali melihat filem lakonan Jake Gyllenhaal dan kolaborasinya dengan pelakon lain jarang menghampakan. Kali ini juga begitu kualitinya, namun ada yang lebih menikam berbanding daripada apa dipamerkan dalam Ambulance.

Disebabkan perihal berkenaan, kolaborasi Gyllenhaal dan Yahya tidak begitu berbekas dalam jiwa audiens termasuk penulis. Kalau boleh dicernakan dalam bentuk markah, kualiti untuk lakonan mereka, hanyalah berstatus B+.

Eiza González sebagai tebusan dalam Ambulance juga tidak banyak boleh ‘diangkat’. Lakonannya mudah dilupakan, namun pujian harus diberikan kepadanya kerana mampu seiring dengan aktor hebat seperti Gyllenhaal dan Yahya.

Sungguhpun begitu, filem Ambulance sangat menyerlah dari segi sinematografi dan efek bunyi. Permainan kamera dari setiap inci babak aksi, letupan dan kejar-mengajar dijayakan dengan cukup baik.

Itu sahaja antara perihal yang sedikit berbekas dalam minda. Buat peminat yang dahagakan naskhah sarat aksi, tembak-menembak dan aksi kejar-mengejar, Ambulance mungkin menjadi pilihan.

EIZA GONZALES sebagai tebusan.

POPULAR