WAJAH jelita Azah Aziz pernah menghiasi kaca televisyen tempatan dengan deretan iklan dan drama sekitar era 1980-an sehingga 1990-an. Sewaktu zaman di puncak populariti, dia bukan sahaja gah sebagai peragawati, bahkan dramatis yang menjadi rebutan penerbit dan pengarah tersohor.
Tidak hanya menjadi sandaran drama, wajah sama turut mengisi slot iklan. Pernah juga satu ketika, kekerapan wajahnya muncul dalam televisyen menjadi isu.
“Ketika saya berusia 17 tahun, saya berlakon banyak iklan. Wajah saya dikatakan ‘over exposed’. Bila buka drama ada muka saya, kemudian waktu iklan pun wajah saya juga. Iklan seterusnya pun wajah saya lagi.
“Jadi agensi terpaksa rehatkan saya sekejap. Ketika itu kalau hantar pergi ‘casting’ mesti saya terpilih,” ceritanya.
Mungkin ramai yang tidak tahu, langkah pertama Azah atau pemilik nama lengkap Norazah Aziz, 54, itu dalam bidang seni bukanlah sebagai model tetapi dia sebenarnya seorang penari.
“Sebelum masuk peragaan dan lakonan, saya bermula sebagai penari. Itu pun secara kebetulan.
“Pada usia 15 tahun, saya selalu temankan kakak yang merupakan penari di RTM. Satu hari, mereka kekurangan penari dan saya diminta untuk menggantikan kekosongan.
“Selepas itu saya terus aktif sebagai penari untuk rancangan RTM dan pernah menjadi penari untuk Datuk Shah Reza, Azlina Aziz, Liza Aziz dan Fauziah Latif,” kongsinya.
Penyertaannya dalam pertandingan Dewi Remaja 1987/1988 pula menjadi gerbang kakinya melangkah ke dunia iklan komersial.
“Iklan pertama saya untuk jenama minuman semasa berusia 17 tahun. Agensi datang berjumpa bapa, berbincang mengenai tawaran kerana saya masih bawah umur.
“Kami lakukan penggambaran di Port Dickson. Saya pengsan ketika itu sebab cuaca panas. Bayaran pertama saya RM500, ketika itu nilainya sangat besar.
“Apa yang mengejutkan saya pula, apabila sekarang masih ada yang tawarkan nilai sama sedangkan harga RM500 itu adalah untuk 40 tahun lalu,” ujarnya.

Usia 18 tahun ada agensi
Kejayaan mencipta nama pada usia muda memberanikan Azah membuka agensi sendiri ketika berusia 18 tahun.
“Saya pun tak sangka boleh buka agensi ketika berusia 18 tahun. Saya uruskan model, penari dan acara pertunjukan fesyen.
“Saya uruskan segalanya sendiri, pandu van bawa model-model pergi pertunjukan fesyen.
“Bapa saya pasang cermin besar di rumah kami di Kampung Baru, Kuala Lumpur jadikan studio untuk penari berlatih. Sampai sekarang cermin itu masih ada,” kongsinya.
Ketika namanya masih berada di puncak, Azah membuat keputusan berhijrah ke luar negara mengikut suami pada tahun 1998. Biarpun masih dihujani pelbagai tawaran menarik, namun tidak sekali pun dia menyesali keputusan tersebut.
“Saya berhijrah ke Perancis mengikut suami yang dipindahkan ke sana. Segala yang berlaku ada hikmahnya. Ketika itu Malaysia dilanda kegawatan ekonomi. Ramai sahabat saya yang terpaksa membuka gerai makan demi kelangsungan hidup.

25 tahun pencen berlakon
“Saya juga terpaksa menolak tawaran membintangi drama Cinderella yang menjalani penggambaran di New Zealand. Arwah Mohd Noor Kadir tawarkan watak Cinderella kepada saya.
“Tetapi ketika itu saya baru kahwin. Takkan saya nak tinggalkan suami.
“Sewaktu berlakon Cinta Korporat di London saya sudah tinggalkan suami selama sebulan. Jadi saya kata kepadanya, berikan saja watak itu kepada pelakon lain.
“Akhirnya watak itu diberikan kepada Haliza Misbun,” katanya yang kali terakhir berlakon dalam drama bersiri Idaman sebelum berhijrah ke Perancis.
Azah bagaimanapun bersyukur kerana biarpun 25 tahun meninggalkan Malaysia dan menetap di luar negara, namanya masih diingati khalayak.
“Saya rasa pentingnya untuk seseorang pelakon memiliki drama yang meninggalkan impak.
“Cinta Korporat meninggalkan impak yang besar dalam kerjaya saya. Sehingga hari ini orang masih bercakap tentang drama tersebut. Begitu juga dengan watak Erina dalam drama Idaman.
“Saya bersyukur kerana sewaktu tinggalkan Malaysia, nama masih kuat dalam industri. Jadi peminat masih ingat saya sehingga kini,” ujarnya.

Tawaran agensi antarabangsa
Memandangkan portfolio kerjayanya sebagai peragawati begitu cemerlang di tanah air sendiri, Azah turut ditanya, tidakkah dia mencuba untuk mengembangkan kariernya di Perancis.
“Sebelum terbang ke Perancis saya sudah siapkan portfolio saya. Saya hantar kepada agensi model di sana.
“Dan tanpa disangka saya dihubungi oleh sebuah agensi terkenal dunia, Ford Models. Mereka mahu saya datang ke agensi yang terletak di Paris.
“Alasan utama, mereka suka dengan warna kulit saya. Malah mereka berharap saya muncul lebih awal ketika usia belasan tahun.
“Ketika itu saya tinggal di selatan Perancis. Agak jauh dengan Paris.
“Anak sulung saya Aaron baru berusia 2 tahun. Tiada siapa yang nak jagakan dia. Jadi saya terpaksa lupakan hasrat itu,” katanya tanpa segaris rasa ralat.
Namun rezeki Azah tidak terhenti di situ, dia kemudian mendapat tawaran dari sebuah lagi agensi lain untuk penggambaran katalog jenama terkenal di sana.
Bukan sahaja bidang peragaan, Azah juga pernah mendapat tawaran lakonan selepas berpindah ke Montreal, Kanada.
“Selepas berpindah ke Kanada, saya sertai kelas lakonan di sana. Kemudian saya dapat tawaran untuk menjadi pelakon untuk sebuah produksi Amerika. Tetapi mereka mahu saya terbang ke New York.
“Masalahnya tiada siapa yang nak jaga Aaron kalau saya pergi. Jadi sekali lagi saya terpaksa tolak tawaran tersebut.
“Cuma semasa di Kanada saya ada berlakon watak tambahan. Bayaran agak lumayan tapi peraturan sangat ketat, tak boleh bawa telefon bimbit ke set penggambaran,” kongsinya.
Kembali menetap di Malaysia Azah hanya menerima tawaran lakonan daripada kenalan rapat memandangkan lakonan bukan lagi kerjaya tetapi sekadar mengisi masa lapang.
“Tiada apa lagi yang saya mahu kejar dalam dunia lakonan. Sejak lahirkan anak bongsu, Justin, waktu itu saya sudah meletakkan noktah dalam kerjaya. Saya hanya mahu tumpukan perhatian menguruskan keluarga dan anak-anak.
“Sekarang anak sudah besar, jadi suka habiskan masa dengan melancong ke luar negara. Cuma baru-baru ini Justin viral dengan video peribahasa Melayu.
“Kalau dia minat dalam bidang seni, saya akan sokong. Tetapi dia perlu mahir bahasa Melayu dulu, sekarang sedang ikuti kelas bahasa dalam talian,” katanya.















