SUATU ketika dahulu, wajahnya sering menghiasi drama televisyen, namun hari ini Hanis Zalikha semakin selesa mengatur langkah sebagai sebagai usahawan berjaya.
Mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu kepada dua cahaya mata dan menerajui jenama Cakenis, Hanis membuktikan bahawa fasa kehidupan selepas bersara daripada dunia lakonan jauh lebih dinamik dan memberi inspirasi kepada ramai wanita.
Meniti tahun kesepuluh mengemudi empayar perniagaan bersama suami tercinta, Hairul Azreen, Hanis mengakui keserasian mereka bukan sekadar dibina atas paksi cinta, tetapi juga strategi perniagaan yang matang.
Berpeluang bertemu empat mata, pemilik nama lengkap Hanis Zalikha Zainal Rashid tidak putus melayangkan pujian terhadap komitmen Hairul yang sentiasa memberikan sepenuh jiwa dalam apa sahaja bidang diceburi termasuk penglibatan aktif dalam dunia sukan.
“Hairul individu yang mempunyai tenaga luar biasa. Dia sangat ‘passionate’ dalam setiap perkara.
“Saya gembira kerana kini dia menyalurkan tenaga tersebut ke arah sukan. Sebagai isteri saya sentiasa menyokong kerana apabila dia aktif, dia akan menghasilkan banyak idea.
“Dia juga sangat hebat dalam membina hubungan (networking) dan bijak bergaul. Jika menyentuh tentang urusan perniagaan kami, bahagian networking atau mengembangkan empayar saya serahkan kepadanya,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas lanjut pembabitan aktif suaminya dalam sukan lasak, Hanis mengakui tidak berasa bimbang meski Hairul pernah berdepan kecederaan serius yang mengakibatkan kedua-dua ligamen lutut (Anterior Cruciate Ligament – ACL) kiri dan kanannya putus sebelum ini.
“Sebenarnya saya memang suka lihat dia bergerak aktif supaya badannya kekal kuat.
“Pengalaman saya sendiri yang pernah menjalani pembedahan bunion sebelum ini membuatkan saya sedar jika kita hanya duduk berehat, badan akan menjadi semakin lemah,” katanya.
Malah, hikmah di sebalik ujian kesihatan tersebut turut membantu dirinya mewujudkan kesedaran yang tinggi untuk menjaga kecergasan fizikal dan mula menitikberatkan soal pembinaan otot badan.
“Disebabkan itu, saya juga mula berjinak-jinak dengan aktiviti larian. Memandangkan usia juga semakin meningkat, saya perasan betapa pentingnya untuk menjaga badan dan membina otot.
“Dahulu saya tak mahu nampak berotot tetapi rupa-rupanya itu sangat penting untuk kesihatan dan kelancaran pergerakan,” jelasnya.
10 tahun berniaga
Bercerita mengenai penubuhan empayar perniagaan, wanita berusia 35 tahun itu mengakui landasan yang dibina bermula dengan keberanian demi mengukuhkan status kewangan keluarga.
“Saya dan Hairul masuk dalam dunia perniagaan macam ambil satu risiko. Ketika awal perkahwinan, kami tertanya-tanya apa lagi nak buat untuk tambah pendapatan.
“Hairul pun bermula dengan studio produksi dan dia yang mulakan Cakenis. Kemudian saya ambil alih sampailah sekarang. Alhamdulillah, sudah masuk 10 tahun,” ujarnya.
Baginya, tempoh sedekad mengemudi perniagaan bukanlah satu jaminan dia dan Hairul bebas daripada melakukan sebarang kesilapan.
Sebaliknya tegas Hanis, setiap apa yang dilalui mereka adalah proses mematangkan diri untuk terus memperbaiki serta mengukuhkan strategi perniagaan.
“Dunia bisnes ada macam-macam cabaran. Bidang ini juga akan mendedahkan kelemahan kita.
“Setiap pemilik bisnes ada ujian berbeza-beza dan kami sentiasa belajar daripada kesilapan.
“Kalau buat perkara yang kami rasa tak patut, kami akan tukar dan cuba lagi sampai.
“Kami terus belajar walaupun sudah 10 tahun berniaga,” tutupnya.














