TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, berdepan cabaran apabila pusat kawalan operasi terputus hubungan dengan 24 anggota pasukan penyelamat yang mencari mangsa antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.
Ia sekali gus menyukarkan pelarasan operasi mencari Jaslinda yang memasuki hari kesembilan hari ini antara pasukan penyelamat di lapangan dan pusat kawalan operasi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, biarpun begitu, operasi SAR Jaslinda pada hari ini masih diteruskan seperti biasa.
“Perkembangan hari ni masih seperti semalam. Pasukan SAR yang diturunkan melalui Pesawat MI-17 semalam masih berada di lokasi menjalankan operasi pencarian dan dijangka keluar pada tengah hari esok.
“Tiada pasukan tambahan sama ada melalui pesawat atau masuk melalui jalan darat ke lokasi pada hari ini,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














