fbpx
Hampir 500 keluarga B40 menerima manfaat menerusi Program Kenduri Sekampung @ Tasek Gelugor anjuran KUSKOP, semalam.

Kenduri Sekampung anjuran Kuskop manfaat 500 keluarga B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Hampir 500 keluarga B40 menerima manfaat pada Program Kenduri Sekampung @ Tasek Gelugor anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui agensinya, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, semalam.

KUSKOP menerusi satu kenyataan berkata, sebanyak lima ekor lembu ditumbangkan bagi menjayakan program yang berlangsung di Masjid Jamek Al Marbawi, Sungai Dua, semalam.

Menurutnya, program yang berjaya menarik lebih 2,000 kehadiran itu melibatkan hampir 100 sukarelawan serta kakitangan Tekun Nasional Pulau Pinang.

“Ia dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada hampir 500 keluarga B40 di sekitar Tasek Gelugor menerusi pengagihan daging korban percuma serta penganjuran majlis kenduri rakyat.

“Lima ekor lembu yang disumbangkan oleh Tekun Nasional merupakan sebahagian daripada keseluruhan 36 ekor lembu yang disumbangkan oleh pelbagai agensi di bawah Kuskop sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

“Program ini merupakan cetusan idea Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, yang mahu agensi-agensi Kuskop khususnya yang terlibat dalam pembiayaan usahawan, terus turun padang dan menyantuni rakyat di seluruh Pulau Pinang serta kawasan-kawasan lain di seluruh negara,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya lagi, selain membantu golongan yang memerlukan, program tersebut turut menyemarakkan semangat gotong-royong dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

“Keseluruhan proses bermula daripada penyembelihan, melapah sehingga memasak dilaksanakan secara bergotong-royong oleh kakitangan Tekun Nasional, Sukarelawan Jalan Teruih dan Jawatankuasa Qaryah Masjid Jamek Al Marbawi, Sungai Dua.

“Program Kenduri Sekampung @ Tasek Gelugor merupakan antara siri program kemasyarakatan yang dilaksanakan Kuskop dan agensi-agensinya bagi mendekati masyarakat serta memastikan manfaat bantuan dan inisiatif kerajaan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN