fbpx
APABILA membawa peranan antagonis, menjadi satu kejayaan buat Chacha apabila watak lakonannya dibenci khalayak.

‘Kalau jadi jahat orang tidak marah, maknanya saya gagal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HAKIKAT menjadi artis, setiap inci kehidupan tidak pernah sunyi daripada perhatian.

Daripada wajah sehingga bentuk tubuh, semuanya menjadi bahan penilaian termasuk soal berat badan.

Itu yang dihadapi pelakon Chacha Maembong yang berdepan turun naik berat badan sepanjang 14 tahun bergelar anak seni. Akuinya, perubahan tersebut sekali gus menghadirkan bukan sahaja ‘body shaming’ netizen bahkan individu dalam industri sendiri.

Dalam diam, kata-kata pedih berbaur sindiran itu dipendam jauh dalam hati, namun tidak sesekali meruntuhkan semangatnya sebagai pelakon.

Segala teguran dijadikan bahan bakar untuk memperbaiki diri dan melangkah lebih jauh, malah kini tampil dengan badan lebih langsing.

“Pernah berdepan ‘body shaming’? Sudah tentu. Itu perkara biasa sejak awal pembabitan dalam industri. Ada yang memuji wajah cantik, tetapi dalam masa sama menegur bentuk badan.

“Saya tidak anggap perkara itu sebagai penghinaan, sebaliknya satu dorongan untuk menjadi versi diri lebih baik. Saya simpan secara positif dan buktikan semua orang mampu berubah,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pemilik nama sebenar Siti Aishah Ismail itu, tiada yang mustahil dalam dunia ini asalkan seseorang itu berusaha dan bersemangat mengejar apa diinginkan.

“Semua orang boleh jadi cantik jika ada semangat. Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah meletakkan sasaran untuk kurus.

“Kadang-kadang perubahan berlaku kerana fasa umur atau terlalu sibuk hingga lupa makan, sampai tidak sedar berat badan turun,” ujarnya.

Dalam perkembangan terbaharu, adik kepada Emma Maembong itu kini sibuk di lokasi penggambaran drama Dendam Seorang Mentua, memegang watak antagonis Harlina, karakter penuh emosi sehingga mencetuskan kebencian penonton.

Bertalu-talu dikecam, wanita berusia 30 tahun itu mengakui cabaran terbesar bukan fizikal, tetapi tekanan mental membentuk watak kompleks.

“Penat itu bukan pada fizikal, tetapi mental. Dari pagi sampai malam, hampir semua babak penuh konflik dan jeritan. Saya perlu kawal emosi, tentukan tahap kemarahan, bina karakter sedikit demi sedikit.

“Saya ada baca komen, tetapi tidak semuanya. Bila orang marah kepada Harlina, kadang-kadang terdetik juga, adakah mereka marah kepada saya. Namun, saya tidak terlalu ambil hati.

“Saya suka bila orang benci watak, malah bila dimaki, itu tanda lakonan menjadi. Kalau bawa watak jahat tetapi orang tidak marah, maknanya saya gagal.

Jadi, bila orang marah, itu kejayaan buat saya. Tidak perlu rasa sedih atau takut,” ungkapnya.

Dalam masa sama, dia enggan terus terperangkap dalam satu jenis watak sahaja.

“Saya tidak suka kekal dalam satu karakter. Kalau asyik antagonis, nanti orang label saya begitu sahaja. Saya mahu cuba pelbagai watak, lompat dari satu karakter ke karakter lain untuk uji kemampuan diri.

“Saya tidak terlalu memilih. Apa-apa watak pun boleh, sama ada pembantu atau utama. Asalkan jalan cerita menarik dan produksi percaya, saya terima. Saya cuma mahu sesuatu yang berbeza,” tuturnya.

Selain Chacha, drama bersiri 50 episod arahan Feroz Kader tersebut turut dibintangi Tracie Sinidol, Datuk Yusry Abd. Halim, Hariz Hamdan dan Datuk Aaron Aziz sebagai Karl.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN