PETALING JAYA – Seorang wanita trauma apabila diintai ketika sedang menggunakan tandas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul, Kuala Lumpur pagi tadi.
Pengguna Threads @Hajijahkjl berkata, dia terpaksa melepaskan hajat di tandas LRT itu selepas sakit perut.
“Saya pilih tandas ketiga. Semasa sedang melepaskan ‘hajat’, tiba-tiba ada kaki terjulur dari atas siling yang dibuka oleh seorang lelaki.
“Saya kemudian menjerit sekuat hati menyebabkan suspek melarikan diri,” kongsinya.
Mangsa turut berkongsi rakaman wajah suspek yang berjaya ditahan oleh polis bantuan berdekatan LRT Sentul tersebut sebagai bukti dan amaran kepada orang ramai untuk berhati-hati.
“Kalau saya leka main telefon mungkin dia dah masuk dan buat benda tak baik pada saya.
“Orang perempuan jangan lupa bawa pepper spray (semburan lada) atau payung sebagai pertahanan diri sebab orang jahat ada di mana-mana,” jelasnya lagi.
Rata-rata pengguna turut mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu bentuk gangguan seksual yang sangat serius serta membahayakan keselamatan pengguna di tempat awam.
“Kalau dia mengintai, dia mesti duduk diam-diam saja atas itu. Ini siap turunkan kaki maksudnya niat dia lebih dari mengintai,” kata pengguna Ajemiie.
“Sebab itu lah aku takut nak pergi tandas awam. Manusia lagi menakutkan dari hantu,” tambah Azlizabdullah pula.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memeriksa keadaan sekeliling sebelum menggunakan tandas awam dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menemui sebarang aktiviti yang mencurigakan. – KOSMO! ONLINE














