LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Roberto De Zerbi terus berdepan tekanan untuk memulihkan prestasi pasukan itu terutama dalam misi mengelak daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.
Menjelang aksi dengan Wolverhampton, malam ini, De Zerbi menerima satu lagi khabar kurang enak membabitkan pemain pertahanan, Destiny Udogie yang kini berdepan masalah lutut dan hamstring.
Keadaan ini memaksanya melakukan perubahan bagi kunjungan ke Stadium Molineux memandangkan pemain 23 tahun itu berada dalam kesebelasan utama dalam dua perlawanan awal kendaliannya.
Bagaimanapun, tekanan sedikit berkurang buat De Zerbi untuk meraih kemenangan sulungnya kerana hanya menentang pasukan tercorot dan keputusan seri dengan Brighton sebelum ini menggambarkan perubahan mula terhasil dalam pasukan.
Penyerang Spurs, Xavi Simons beranggapan De Zerbi hadir dengan pendekatan berbeza dan mampu mengubah nasib pasukan walaupun terpaksa berdepan sebarang kesukaran.
“Jurulatih baharu hadir dengan idea baharu apabila beliau mahu kami mengawal bola. Ia sesuatu yang saya cukup gemarkan dan saya fikir cara itu boleh membantu saya tampil aksi terbaik,” katanya. – AGENSI














