fbpx
Poster pertandingan tersebut yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Tular pertandingan tidur dalam kubur paling lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Satu poster mempromosikan pertandingan ‘Tidur Dalam Kubur Paling Lama’ tular di media sosial sejak semalam sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai sehingga ada yang terkejut dengan konsep ekstrem tersebut.

Berdasarkan maklumat pada poster berkenaan, pertandingan itu dijadualkan berlangsung pada 5 Mei ini di sebuah kawasan perkuburan dikenali Kubur Jalan Pusara (Kubur Cina) bermula pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi.

Poster itu mengajak orang ramai untuk menyahut cabaran luar biasa tersebut bagi menguji ketahanan mental dan fizikal berdepan suasana sunyi, gelap dan mencabar.

Menariknya, penganjur menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan kepada peserta yang mampu bertahan paling lama di dalam kubur.

Juara bakal membawa pulang RM2,500, manakala naib juara menerima RM1,000 dan tempat ketiga RM500. Penyertaan pula adalah percuma.

Pertandingan itu dipercayai dianjurkan sebuah kumpulan dikenali ‘Geng Gali Kubur Terengganu’ dengan individu bernama Din Gali Kubur disenarai sebagai pihak untuk dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Tinjauan di media sosial mendapati ramai pengguna meluahkan rasa kurang senang dan mempersoalkan sensitiviti serta kewajaran penganjuran program sedemikian kerana melibatkan kawasan kubur yang dianggap tempat suci dan perlu dihormati.

Ada juga yang mempersoalkan mengenai aspek keselamatan peserta, selain kemungkinan implikasi psikologi akibat berada dalam ruang sempit dan gelap untuk tempoh yang lama.

Bagaimanapun, setakat ini kesahihan penganjuran pertandingan tersebut masih belum dapat disahkan, dan tidak dapat dipastikan sama ada ia benar-benar akan berlangsung atau sekadar gimik untuk menarik perhatian di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN