JASIN – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum berpusing masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh sebuah lori di Jalan Sungai Dua Asahan di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Hashim Hamzah, 53, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Lee Robert berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga dalam perjalanan dari arah Simpang Bekoh menuju ke Asahan.
“Berdasarkan siasatan awal, kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum berpusing masuk ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah lori Hino yang berada di laluan sah tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat, manakala kedua-dua kenderaan dibawa ke Puspakom bagi pemeriksaan lanjut.
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati pemandu lori berkenaan mempunyai lima rekod lampau dengan tiga daripadanya membabitkan kes dadah, manakala kenderaan dipandunya mempunyai sembilan saman yang belum dijelaskan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














