fbpx
SABRI Yunus berpendapat pelajar, kolej atau fakulti bertanggungjawab dalam pementasan sebuah teater dengan adegan berahi di Universiti Malaya tidak harus dihukum dengan 'kekerasab' sebaliknya dengan ilmu kerana pihak berkenaan masih dalam proses belajar.

‘Seni dianggap bebas, dalam Islam tak jadi bebas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Isu persembahan teater pelajar universiti didakwa berunsur ‘soft porn’, pelakon Sabri Yunus berpendapat sebarang karya seni yang dihasilkan perlulah sentiasa berpaksikan kepada landasan dan hukum-hakam agama.

Sabri atau nama sebenarnya, Muhammad Sabri Yunus, 65, menegaskan walaupun seni sering dianggap sebagai satu medium bebas namun umat Islam tetap mempunyai batasannya tersendiri.

“Saya pernah tengok cerita itu di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) kalau tak silap saya. Dia banyak kali buat tapi masa yang saya tengok tak ada babak-babak begitu.

“Berbalik pada kita, orang Islam. Apa pun seni kita mesti bersandarkan dan berlandaskan hukum-hakam dalam agama.

“Walaupun seni itu dianggap bebas secara apa pun tetapi dalam Islam dia tak akan jadi bebas,” katanya kepada Kosmo! Online pada tayangan perdana filem Libang Libu, malam tadi

Pelakon telefilem Pok Ya Cong Codei yang juga aktivis teater itu turut memberikan perbandingan antara perspektif seni Barat dan nilai moral Islam yang perlu dipertahankan di negara kita.

“Saya bagi contoh, kalau di Barat, di Paris, orang belajar melukis, 20 orang duduk, seorang bogel di depan. Orang melukis seni untuk seni, mereka bebas.

“Mereka melukis dengan murninya tak ada rasa-rasa rangsangan apa pun terhadap orang bogel tadi. Dia boleh buat, tak ada rasa apa-apa.

“Hasilnya dia tengok, cantik, walaupun kita tak ada rasa (rangsangan) apa pun, tetap tak boleh sebab batas kita tidak boleh bogel. Jadi apa pun pada saya, melukis, teater atau apa saja, mesti ada kesedaran sendiri batas-batas itu,” jelasnya lagi.

Sabri bagaimanapun berpandangan, tindakan menghukum pelajar, penganjur mahupun pihak fakulti bukanlah jalan penyelesaian terbaik sebaliknya mencadangkan mereka yang terlibat dididik dengan ilmu agar lebih peka dengan sensitiviti masyrakat.

“Mereka di universiti nak belajar, ada ilmu. Jadi harus dididik, dihukum dengan ilmu juga.

“Hukuman itu melemahkan. Seperkara lagi mereka masih muda dan belajar, nanti akan menyekat mereka kerana takut untuk berkarya.

“Cuma saya rasa tak perlu dihukum pelajar, penganjur dan pihak fakulti. Tapi masing-masing mesti ada kesedaran lain apabila berlaku peristiwa macam ini pada penganjuran akan datang,” katanya.

Menjawab mengenai isu pihak yang merakam di dalam teater yang lazimnya tidak dibenarkan, suami kepada pelakon Angeline Tan itu melihat dari sudut positif yang dapat membuka mata masyarakat terhadap isu yang berlaku.

“Dalam isu ini, saya rasa orang yang merakam dan menyebar itu okey sebab dia membawa kepada semua boleh tahu isu ini.

“Kalau sama-sama diam, balik lepas persembahan, tak tahulah apa jadi lepas ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, sebuah persembahan teater yang didakwa berlaku di Universiti Malaya tular apabila memaparkan adegan ghairah di atas katil yang tidak sepatutnya berlaku di sebuah institusi pengajian awam ternama.

Universiti Malaya (UM) dalam satu kenyataan memandang serius perkara tersesebut dan mengambil maklum mengenai segala kebimbangan yang dibangkitkan khalayak.

Pihak UM juga memutuskan persembahan tersebut tidak layak untuk dinilai dan tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi mengukuhkan pemantauan serta memastikan perkara seumpama itu tidak berulang semula pada masa depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN