KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengesahkan tempat ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas membenam wakil England, Ben Lane-Sean Vendy.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta hari ini, bekas gandingan No.1 dunia itu tidak berdepan banyak masalah apabila hanya memerlukan 31 minit untuk menang 21-11, 21-13.
Turun sebagai pilihan ketujuh kejohanan, beregu yang diberi julukan DinFei itu menggalas rekod dua kekalahan dalam dua perlawanan terdahulu kepada jaguh Eropah berkenaan, termasuk di Terbuka Malaysia Januari lalu.
Justeru, keputusan itu sekali gus menyaksikan Sze Fei-Izzuddin mencatat kemenangan pertama ke atas pasangan No.11 dunia berkenaan dalam tiga pertemuan setakat ini.
Menjelang aksi suku akhir esok, beregu No.8 dunia itu akan berdepan wakil India, Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun yang menewaskan satu lagi pasangan negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing 16-21, 21-15, 21-19.
Sementara itu, langkah perseorangan wanita kebangsaan, K. Letshanaa terhenti di pusingan kedua apabila terpaksa akur dengan kekalahan straight-set 15-21, 18-21 kepada juara dunia tiga kali dari Jepun, Akane Yamaguchi.
Turut tersingkir adalah beregu campuran profesional, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing yang tewas 14-21, 22-24 kepada pilihan kedua kejohanan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran. – KOSMO! ONLINE














