fbpx

Polis tembak tayar kereta elak suspek dadah lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rodzi menunjukkan tayar kereta dinaiki suspek yang pancit akibat terkena tembakan anggota polis dalam kejadian di Kampung Tandop Kedabu, Air Hitam semalam.

JITRA – Polis memburu seorang lelaki disyaki tokan dadah yang meloloskan diri selepas dikejar anggota polis dalam kejadian di Kampung Tandop Kedabu, Air Hitam dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek berusia 44 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord bertindak memecut keretanya selepas menyedari kehadiran anggota unit kereta peronda (MPV) polis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, dua anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan Air Hitam terserempak dengan suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek bertindak melarikan diri dan anggota polis mengejarnya selama kira-kira 10 minit iaitu sejauh empat kilometer (km) sebelum suspek berhenti di tepi jalan Kampung Tandop Kedabu.

“Semasa dua anggota polis itu turun dari kereta untuk membuat pemeriksaan, suspek secara tiba-tiba mengundurkan kereta dengan laju dan hampir melanggar anggota terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Jelas beliau, kereta MPV polis jenis Proton Waja terjatuh ke dalam tali air selepas dilanggar kereta suspek.

“Suspek cuba melarikan diri dan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar hadapan kanan menyebabkan tayar kereta suspek pancit, namun dia terus memandu untuk meloloskan diri,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, hasil maklumat dan risikan, polis berjaya menemui kereta suspek yang disembunyikan di belakang sebuah rumah di Kampung Tempayan, Air Hitam pada pukul 7 malam semalam.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menemui sepeket heroin seberat 0.9 gram, dua peket lut sinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 95 gram dan sebilah pisau,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI