SHAH ALAM – Pelakon dan penyampai radio, Azad Jasmin kecewa dengan tindakan segelintir netizen yang berterusan melemparkan kecaman melampau terhadap anak sulungnya, Amarra Sophie Rose sepanjang bertanding di program Talk To My Manager musim kedua (TTMM) ketika ini.
Azad atau Pak Azad berkata, paling membuatkan hatinya sebagai seorang bapa terluka apabila wujud komen dengan kata-kata hinaan dan cacian ditulis untuk Amarra yang baru berusia 13 tahun.
“Ada satu komen yang saya baca dia tulis ‘anak pun bangang, bapa pun bangang’. Komen tersebut bukan berbentuk nasihat, itu sudah melampau sebab sudah ke tahap sebegitu.
“Ada juga yang tuduh kami masih kekal dalam TTMM2 sebab guna ‘kabel’ dan minta Amarra menyanyi lagu balada. Saya bapa dan pengurus dia, pastinya lebih tahu apa kelebihan dan kekurangan anak sendiri.
“Sebagai bapa, saya tidak akan sekali-kali dengar cakap netizen untuk paksa dia nyanyi balada balada atau rock,” katanya kepada Kosmo! Online selepas konsert minggu ketujuh TTMM2 di sini, malam tadi.
Dalam masa sama, dia juga berkali-kali menegaskan tidak akan sesekali tunduk dengan komen negatif netizen yang bercakap buruk tentang Amarra.
“Sebagai ayah yang melihat sendiri isteri yang perutnya dipotong berkali-kali, saya menangis tengok cara dia beranak. Takkanlah orang kecam anak sendiri, saya tidak terasa?
“Namun, semua kecaman ini sebenarnya menguatkan kami setiap hari dan tidak akan menggoyangkan saya dan isteri kerana sudah dilatih oleh arwah bapa untuk berdepan dengan pelbagai cabaran, jadi tidak ada masalah,” jelasnya.
Tegasnya, setiap komen negatif yang ditulis dalam media sosial boleh memberi contoh yang buruk terutama terhadap generasi muda.
“Kadang-kadan komen yang ditulis memberi contoh buruk kepada budak usia 13 tahun. Berhati-hatilah sebelum bercakap sebab kita tidak tahu, mungkin benda yang sama akan berlaku pada keluarga sendiri.
“Kepada netizen yang suka maki hamun dalam media sosial, ingat pesanan saya, ‘kun fayakun’, semua kata-kata buruk itu akan berbalik semula kepada anda suatu hari nanti.
“Masa itu akan tiba nanti dan kalian mungkin akan mimpikan muka saya. Insya-Allah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia mengakui turut membalas beberapa komen melampau terutama yang ditulis oleh individu yang sudah memiliki keluarga.
Dia juga meminta orang ramai berhenti menuduhnya menggunakan orang dalam atau kabel hanya untuk kekal dalam TTMM2.
“Saya balas beberapa komen yang pemilik akaunnya sudah mempunyai keluarga sendiri.
“Itu yang saya sangat sedih sebab di profil akaun tertulis ‘i’m a proud mother’ tetapi mengutuk anak orang lain, pelik bukan?
“Kemudian berhentilah bercakap tentang kami guna kabel, pakai otak sebelum tanya,” ujarnya lagi
Terdahulu, Azad dan isterinya, Iera Syazira tampil mempertahankan anaknya yang menjadi bahan kecaman dalam media sosial kerana dikatakan tidak memiliki bakat nyanyian.
Lebih teruk ramai yang berharap Amarra disingkirkan dari TTMM2 bagi memberi laluan kepada peserta yang benar-benar layak meneruskan perjuangan di TTMM2. – KOSMO! ONLINE














