SEJAK program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), ramai mula mengenali Hussain yang merupakan anak kepada penyanyi era 1980-an iaitu Jamilul Hayat.
Menyedari bakat besar yang mampu pergi lebih jauh, Hussain ditawarkan untuk bertanding dalam program Big Stage X Rocketfuel sekali gus bakal bersaing sengit dengan 10 peserta lain.
Pada konsert minggu pertama, persembahan Hussain yang membawakan lagu Lelaki Ini nyanyian asal Anuar Zain ternyata memukau emosi penonton termasuk barisan juri tetap.
Namun, timbul pula spekulasi mendakwa kemasukan Hussain ke dalam Big Stage X Rocketfuel sekadar sebahagian daripada pemasaran Astro.
Bagi menjelaskan perkara terbabit, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad menafikan dakwaan terbabit sekali gus menegaskan Hussain bakal diadili sama seperti peserta lain.
“Setiap peserta yang menyertai Big Stage X Rocketfuel mempunyai kekuatan dan penyokong masing-masing, termasuk Hussain. Namun penyertaan dia adalah mengikut mekanisme pertandingan selepas keputusan undian diumumkan.
“Sejak itu, Hussain tertakluk kepada proses dan penilaian yang sama seperti peserta lain dan bukan dipilih untuk tujuan pemasaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Selain didakwa menggunakan Hussain sebagai bahan pemasaran, pihak produksi Astro terus dijadikan sasaran apabila dikatakan tidak memberi keadilan buat anak lelaki Jamilul Hayat yang merupakan penyanyi 1980-an.
Hal tersebut berikutan tiada paparan tajuk lagu yang bakal dibawakan Hussain dipaparkan di skrin, sehingga ada yang mendakwa pihak produksi sekadar menggunakan populariti Hussain sebagai strategi pemasaran.
Raqim memaklumkan bahawa pemilihan Hussain sebenarnya dibuat pada saat-saat akhir sebelum konsert minggu pertama bermula dan penyertaannya hanya diketahui selepas undian ditutup.
“Disebabkan itu Hussain tidak sempat melalui proses perbincangan, kelas dan rakaman diari bagi minggu pertama. Tiada perbincangan bersama pihak produksi mengenai pemilihan lagu kerana Husain hanya dapat menghadiri sesi soundcheck pada hari Sabtu,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia memberi jaminan bahawa bermula minggu kedua, Hussain tetap akan menjalani proses dan rutin yang sama seperti mana peserta yang lain.
Setiap program memerlukan strategi pemasaran bagi memastikan setiap yang dianjurkan mendapat tempat di hati peminat dan penonton.
Kehadiran dan sambutan hangat penonton antara lain mampu menjadi penentu ‘jangka hayat’ satu program. -KOSMO! ONLINE














