fbpx
A.AIDA sudah menyediakan perancangan kerjaya buat Azeva. - Foto SADDAM YUSOFF

A. Aida ‘kunci’ laluan Azeva, saran jadi penyanyi selepas TTMM2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Menduduki tangga keempat program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), penerbit Datuk A. Aida sudah mengunci haluan seni anaknya, Azeva dengan menyarankannya fokus terhadap nyanyian berbanding lakonan.

A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 56, berkata, perancangan kerjaya masa depan Azeva sudah disusun rapi membabitkan pelancaran beberapa single baharu yang diyakini kerjaya lebih tepat untuk puteri keduanya itu.

“Saya memang minta dia fokus kepada nyanyian sebab berlakon saya kurang sarankan. Kalau berlakon drama bersiri 26 episod, tiga bulan kena ‘berkampung’ di set (penggambaran).

“Masa untuk diri sendiri dan keluarga pun tiada. Tetapi kalau menyanyi (buat persembahan), pergi dua jam sahaja sudah boleh balik.

“Cuma jika terbabit dalam projek filem saya bagi keizinan sebab itu skrin besar selain peluangnya juga berbeza,” katanya ketika ditemui usai konsert final TTMM2 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, semalam.

Mengulas kedudukan Azeva atau Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, yang meraih tangga keempat daripada lima finalis pertandingan tersebut, pelakon juga produser berpengalaman itu mengakui tidak terkilan dengan keputusan juri apabila dapat mara ke pentas akhir sudah cukup membanggakannya.

“Alhamdulillah, sebagai ibu merangkap pengurus apa-apa keputusan pun saya tetap berbangga dengan pencapaian Azeva yang mampu mara dan melangkah ke malam kemuncak ini.

“Saya memang tak mengharapkan juara atau apa-apa nombor. Apabila diumumkan di tempat keempat, saya cuma kata okey sahaja. Langsung tak ada perasaan terkilan atau kecewa sebab semua finalis terbaik,” ujarnya.

Mengenai juara, A. Aida mengakui kemenangan Anggrek sememangnya wajar bersandarkan bakat serta komitmen luar biasa ditunjukkan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu sepanjang 10 minggu.

“Bagi saya anak Adira ini sangat istimewa. Bila dia naik pentas, kita orang tua pun boleh terpegun. Cik B pula sentiasa tampil dengan idea persembahan yang hebat, manakala Husain memiliki vokal mantap.

“Pertandingan ini juga bukan semata-mata melihat soal suara atau vokal, barisan juri mengadili persembahan secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Azeva berkata, dia menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka malah sejak awal mengharapkan rakan lain yang lebih bekerja keras dapat meraih kemenangan.

“Saya sendiri cakap tak nak jadi juara. Saya nampak usaha finalis lain termasuk Anggrek, Cik B, Hussain, serta rakan lain 10 kali ganda lebih banyak berbanding saya.

“Anggrek pagi, petang, siang dan malam berlatih. Cik B pula senriasa memikirkan konsep setiap idea persembahan dari A sampai Z. Saya memang nak mereka menang sebab mereka memang layak.

“Sudah tentu saya sangat gembira untuk Anggrek kerana dia sememangnya layak bergelar juara,” ulasnya.

Dalam perkembangan lain, A. Aida memaklumkan Azeva bakal merakamkan single Sejiwa versi tersendiri minggu depan sebelum tampil dengan lagu runut bunyi filem lakonannya pada Oktober.

“Banyak projek untuk Azeva bakal direalisasikan selepas ini terutama menghasilkan lagu duet bersama penyanyi, Zaki Yamani.

“Bagi saya, penyertaan dalam TTMM2 menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan Azeva kepada khalayak.

“Saya percaya dia mempunyai pakej lengkap untuk melangkah lebih jauh sebagai penyanyi,” tambahnya.

Terdahulu takhta juara menjadi milik peserta termuda, Anggrek, 9, dan pengurusnya, Adira Suhaimi yang melayakkan anak beranak itu membawa pulang ganjaran berjumlah RM30,000 dan trofi.

Naib johan pula dimenangi Hussain bersama pengurusnya, Jamilulhayat dengan ganjaran wang tunai berjumlah RM15,000, manakala Datuk Seri Vida dan Cik B menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM10,000.

Seorang lagi finalis, Safura dengan Kim Khairii, tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih tempat kelima sekali gus mendapat hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi sama seperti A.Aida serta Azeva yang berada ditangga keempat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN