fbpx

TMJ taja tanam rumput Stadium Bukit Jalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bermurah hati untuk menaja kos penanaman rumput baharu sebagai hadiah kepada Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Tunku Mahkota Johor itu berkata, stadium itu akan menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia yang sama digunakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri milik JDT.

“Saya telah membuat keputusan untuk menaja kos penanaman rumput baharu sebagai hadiah kepada Stadium Nasional Bukit Jalil. Ia adalah rumput jenis Zeon Zoysia, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT.

“Saya telah mengarahkan pengurusan JDT untuk membantu Perbadanan Stadium Malaysia bagi memastikan Stadium Nasional tersebut mempunyai padang yang kualitinya layak untuk perlawanan bola sepak antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di media sosial miliknya hari ini.

September tahun lalu, akhbar melaporkan struktur SNBJ yang memiliki kecerunan tinggi antara punca pihak pengurusan sukar memastikan padang sentiasa berada dalam keadaan sempurna.

SNBJ sudah menggunakan pelbagai jenis rumput termasuk bermuda, paspalum, cow grass dan kini dalam proses bertukar kepada zoysia.

Pemangku Pengarah Pusat Sukan, Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), berkata, keadaan padang itu sendiri berada beberapa meter ke bawah dan kualiti pencahayaaan tidak mencukupi.

Keadaan stadium menyebabkan rumput sukar membesar dengan baik dan menyukarkan kontraktor menjalankan penyelenggaraan berkala.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail meminta pihak berkuasa stadium untuk memastikan padang itu dijaga dengan rapi.

“Saya ingin meminta pihak berkuasa stadium untuk memastikan padang itu dijaga dengan rapi.

“Semua penggunaan bukan sukan hanya dilakukan jikalau langkah-langkah yang sesuai telah dilakukan bagi memastikan padang tersebut tidak rosak,” katanya.-KOSMO! ONLINE

POPULAR