fbpx

Paris bina perkhidmatan kereta kabel pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan ilustrasi projek Cable 1 yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2025. – CNN

PARIS – Ibu kota Perancis, Paris bakal mempunyai laluan kereta kabel bandar pertamanya bagi menambah lagi tarikan di bandar raya itu, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Laluan udara sepanjang 4.5 kilometer akan dibina untuk menghubungkan lokasi-lokasi pinggir bandar di tenggara dengan aliran transit Metro Paris yang dijangka bermula tahun ini. 

Dijadualkan untuk dibuka pada 2025, projek bergelar Cable 1 itu akan dibina dari pinggir bandar Villeneuve-Saint-Georges di Paris ke stesen Pointe du Lac di bandar Creteil di wilayah le-de-France.

Dengan menggunakan kereta kabel tersebut, perjalanan boleh dilakukan dalam masa hanya 17 minit, kurang separuh dari masa perjalanan jika menaiki bas.

Kos bagi projek Cable 1 dianggarkan mencecah AS$145 juta (RM606.68 juta) dan dijangka memberi perkhidmatan kepada sekitar 11,000 orang sehari.

Selang masa bagi satu gondola ke gondola lain hanya mengambil masa selama 30 saat pada waktu puncak. Setiap gondola mempunyai ruang untuk memuatkan sehingga 10 penumpang.

Walaupun bandar-bandar Perancis seperti Brest dan Grenoble sudah mempunyai sistem kereta kabel yang serupa, Cable 1 akan menjadi yang pertama di Paris jika diluluskan. Bagaimanapun, beberapa laluan trem udara lain yang dicadangkan kini dalam pelbagai peringkat pembangunan.

Pertama kali dicadangkan pada 2008, pembinaan Cable 1 dianggap perlu kerana bentuk muka bumi bandar Creteil yang berbukit, mempunyai laluan kereta api berkelajuan tinggi dan lebuh raya, menjadikan sistem perjalanan alternatif atas tanah kurang praktikal.

Bagi membinanya, 33 tiang putih yang direka untuk ditanam ke dalam landskap akan dipasang di sepanjang pinggir bandar. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI