PARIS – Bekas pemandu Formula Satu (F1) dari Rusia, Daniil Kvyat tidak berpuas hati dengan tindakan beberapa badan sukan dunia yang mendesak agar atlet negara itu digantung daripada bertanding selepas tercetusnya perang Rusia-Ukraine.
Kvyat menegaskan, sukan sepatutnya kekal bebas tanpa sebarang kaitan dengan politik, sekali gus menjejaskan sesemasa depan atlet dan sukan itu.
Sejak Vladimir Putin mengarahkan tenteranya melancarkan perang ke atas Ukraine pada Khamis lalu, beberapa badan induk sukan dunia telah mengenakan sekatan ke atas Rusia dan atlet dari negara berkenaan.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan badan bola sepak Eropah, UEFA mengeluarkan larangan menyeluruh ke atas pasukan kebangsaan Rusia dan pasukan kelab untuk menyertai perlawanan bola sepak, manakala perlawanan akhir Liga Juara-juara 2020 dipindahkan dari Saint-Petersburg ke Paris.
Sementara itu, Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) juga dalam pertimbangan untuk mengeluarkan semua petinju Rusia daripada ranking semasa, manakala Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF) menggantung status Putin sebagai presiden kehormat.
Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) turut mengumumkan pemandu dari Rusia tidak boleh beraksi di bawah bendera negara mereka, malah lagu kebangsaan mahupun warga atau logo tidak dibenarkan .
“Persekutuan sukan di seluruh dunia termasuk IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) perlu kekal di luar politik.
“Tindakan tidak membenarkan atlet dan pasukan Rusia menyertai pertandingan dunia adalah tidak adil.
“Ia bertentangan dengan prinsip diterapkan oleh sukan, terutama menerusi perpaduan dan keamanan.
“Siapa lagi kalau bukan kita ahli sukan yang akan membantu menyatukan negara-negara pada masa depan?” tegas Kvyat.
Kvyat yang pernah mewakili Red Bull dan Toro Rosso berharap konflik kedua-dua buah tersebut dapat dapat mencari titik pendamaian. – AGENSI














