SENTIASA berani mencuba perkara baharu dalam hidup, itu tekad figura dikenali Ceddy Ang, ketika melangkah ke dunia hiburan beberapa tahun lalu.
Tidak meletakkan sebarang jangkaan tinggi, selebriti yang memulakan kerjaya sebagai pempengaruh media sosial itu mahu terus mencabar diri, mencuba pelbagai bidang termasuk pengacaraan, lakonan dan nyanyian.
Bukan tamak, Ceddy sebaliknya berkata semua itu bagi memenuhi impian yang ditanam sejak dulu iaitu ingin menjadi seorang penghibur.
Terbaharu, dia mahu terbang tinggi dalam dunia seni suara apabila melancarkan single kedua berjudul, Asal Ada Kamu ciptaan Bo Amir dan MimiFly.
Enggan lagi berpaling, Ceddy menegaskan akan mengejar semua perkara yang diimpikan sejak dahulu iaitu menjadi seorang penghibur.
“Saya rasa ini adalah masa dan peluang terbaik untuk lebih serius dengan penglibatan dalam dunia seni terutama sebagai penyanyi dan pengacara
“Sebab memang sejak zaman remaja, saya suka menari, menyanyi dan bercakap di atas pentas cuma tidak begitu berani seperti sekarang.
“Saya cuma mahu menjadi seorang penghibur tetapi tidak dapat peluang itu dulu sebab ramai yang buli cakap suara tidak sedap dan sebagainya.
“Namun, sekarang saya lebih berani mencuba ditambah pula usia sudah mencecah 37 tahun,” katanya kepada HibGlam.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu juga terbuka dengan segala maklum balas orang ramai untuk setiap hasil kerja seninya. terutama nyanyian.
“Apabila sudah menjadi artis, memang kena bersedia dengan sebarang kritikan dan kecaman cuma biarkan yang jenis membina, bukannya bersifat serangan peribadi.
“Saya okey kalau orang cakap suara sumbang sebab sekurang-kurangnya itu cara untuk beritahu bahawa saya bukan penyanyi ‘vocal powerhouse’.
“Janganlah pula lihat persembahan saya dan jangka nyanyian balada luar biasa. Saya cuma nak orang terhibur saja,” ujarnya.
Pernah muncul dengan single pertama berjudul Selangkah, Ceddy enggan lagi membiarkan kata-kata negatif khalayak menjadi penghalangnya untuk meneruskan cita-cita menjadi seorang penghibur.
“Saya adalah individu yang ada impian sangat besar untuk jadi penghibur cuma dulu tergendala separuh jalan tetapi saya aturkan semua dengan baik.
“Kalau ada yang cakap tidak, kita perlu persoal semua, siapa dia untuk halang kejar impian sendiri?
“Hidup ini jangan generalisasikan semua benda, contohnya saya. Kalau orang tak kenal, tidak mungkin Mimi Fly sudi buatkan lagu, mungkin dia nampak sesuatu,” ujarnya.
Teruja bercerita mengenai single terbaharunya, dia memberitahu lagu tersebut terinspirasi selepas merenung kucingnya di rumah.
“Ketika itu saya sedang bermain permainan video kemudian kucing saya tenung lama dan buatkan saya terfikir apa yang dia mahu. Dia nak mulakan perang atau makan saya ke?
Kucing jadi inspirasi
“Kemudian saya usulkan hasrat kepada produser, boleh tak buat lagu tentang kucing? Kemudian Mimi kata okey, dan lagu itu siap dalam tempoh 18 minit sahaja!
“Cuma lirik tidaklah mengenai kucing pun dan pendengar boleh terjemahkan sendiri maksud, sama ada lagu untuk cinta, persahabatan atau semua perkara yang baik,” jelasnya yang mengambil kelas vokal bersama Cikgu Shafizawati Shariff.
Ditanya mengenai pemilihan genre iaitu pop disko, Ceddy memberitahu semua itu adalah hasil perbincangan bersama guru vokal dan produser muzik.
“Cikgu Shafi beritahu, kalau saya ingin terus diterima ramai sebagai individu yang menyeronokkan, itu adalah genre terbaik.
“Tidak sesuai kalau tiba-tiba saya buat lagu jiwang sebab mungkin orang tak akan ambil serius pun.
“Apa pun saya sangat seronok sepanjang penghasilan Asal Ada Kamu dan bangga dengan diri sendiri. Rasa-rasanya tak salah pun nak bangga dengan hasil kerja keras sendiri,” tuturnya.














