fbpx

Mamat Exists dalam pemantauan AADK sejak awal tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAMAT Exists tidak berasa terbeban walaupun pergerakannya terbatas disebabkan pemantauan daripada pihak AADK.

KUALA LUMPUR – Bekas vokalis kumpulan Exists, Mamat mendedahkan perlu melaporkan diri kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun bermula  awal tahun ini.

Pemilik nama lengkap, Mohd. Ali Kamarudin, 43, itu bagaimanapun reda pergerakannya yang terbatas demi kebaikan diri.

“Sekarang, saya perlu hadirkan diri untuk program-program yang ditetapkan AADK.

“Sebulan sekali tetapi kadang-kadang sebulan dua tiga kali (melaporkan diri). Bergantung pada program-program yang ditetapkan AADK Johor Bahru.

“Pergerakan saya pun terhad,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Album Live Exists Reunion di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Kata Mamat, dia tidak dibenarkan bergerak sesuka hati dari satu kawasan ke satu kawasan. Pun begitu, pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim pertama itu positif untuk mendisiplinkan demi membersihkan daripada belenggu masalah penggunaan dadah.

“Saya perlu ada surat kebenaran daripada AADK. Tak boleh bergerak ke sana sini sesuka hati.

“Baru mula tahun ini. Insya-Allah, boleh saya buat dan mendisiplinkan diri,” katanya lagi.

Terdahulu, Mamat pernah ditahan polis pada 8 September 2019 ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru kerana memiliki sejumlah dadah jenis syabu.

Hasil pemeriksaan dilakukan, polis menemui peket berisi serbuk putih disyaki dadah di dalam dompet miliknya.

Ujian saringan awal air kencing mendapati dia dan seorang kawan lelakinya positif dadah.

Pada 2009 dan 2011, dia juga pernah diberkas polis sebanyak dua kali berhubung isu sama.

Dalam pada itu, mengulas tentang aktiviti seni yang memerlukan komitmen dirinya bersama Exists, jelas Mamat, semuanya akan diuruskan oleh pihak penganjur.

“Semua aktiviti yang membabitkan kumpulan Exists akan diuruskan oleh penganjur jadi saya tiada masalah untuk berulang-alik dari Johor.

“Lagi pun saya memang ada menjalankan perniagaan kedai makan (bistro) dan memang ada keperluan untuk berulang-alik,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI