fbpx

Jho Low `orang di belakang tabir’ 1MDB – Ismee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismee ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) disifatkan sebagai `orang di belakang tabir’ dalam pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdasarkan hubungan baiknya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, demikian Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, 57, berkata, Jho Low kerap menghantar pesanan melalui e-mel kepada pengurusan syarikat itu yang disalinkan kepada lembaga pengarah termasuk beliau.

Ketika membacakan pernyataan saksi sepanjang 112 muka surat, saksi pendakwaan ke-13 itu berkata, beliau tidak mengetahui kapasiti Jho Low yang membolehkannya menghantar e-mel kepada pengurusan 1MDB, mahupun penglibatannya dalam syarikat itu.

Semalam, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, 48, berkata, Jho Low turut menghantar e-mel kepadanya yang mengandungi strategi penjelasan yang perlu diberikan oleh bekas Perdana Menteri kepada firma audit, KPMG berhubung pelaburan 1MDB ke luar negara.

Ismee menyatakan, hubungan baik dengan bekas Perdana Menteri menyebabkan Lembaga Pengarah 1MDB tidak mengabaikan langsung emel yang dihantarnya walaupun beliau berpendirian, setiap perkara mesti melalui prosedur yang betul.

Saksi menjelaskan, kebanyakan pesanan yang diterima itu dihantar ke alamat e-mel tidak rasmi beliau sedangkan Jho Low bukan penasihat rasmi 1MDB.

Bagaimanapun, Ismee memberitahu `tidak ambil kisah’ dengan tindakan Jho Low menghantar e-mel kerana beliau menganggap ahli perniagaan itu `bukan siapa-siapa` dalam pengurusan 1MDB.

Ketika menjelaskan hubungan rapat di antara Jho Low dan Najib, Ismee menyatakan, sewaktu beliau menyertai bekas Perdana Menteri dalam satu lawatan rasmi ke Abu Dhabi, ahli perniagaan itu turut berada di sana dan dilihat bergaul rapat dengan delegasi negara itu.

Ujarnya, ekoran hubungan baik dengan negara Timur Tengah, Jho Low malahan pernah membantu mendapatkan kuota tambahan jemaah haji Malaysia sebanyak 10,000 orang pada musim haji.

Ismee turut menjelaskan, Jho Low kerap kali menggunakan nama Najib dalam percakapan dan ketika mengutarakan cadangan dengan mengunakan panggilan `boss’ atau `PM’ ketika bermesyuarat.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 billion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram pada jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI