PETALING JAYA – Tindakan menempatkan karya seni yang dipulangkan menerusi siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah pengawasan Balai Seni Negara disifatkan sebagai langkah tepat bagi memastikan aset berkenaan terus dipelihara sebagai sebahagian daripada sejarah negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, usaha itu juga penting sebagai pengajaran kepada generasi akan datang mengenai kesan besar skandal kewangan yang pernah mencalarkan imej Malaysia di mata dunia.
Menurut beliau, rakyat perlu memahami bahawa skandal 1MDB bukan sekadar isu kehilangan wang negara, sebaliknya turut memberi kesan terhadap keyakinan pelabur, integriti institusi serta moral pentadbiran awam.
“Justeru, MCW berharap momentum pemulihan aset ini diteruskan secara agresif termasuk usaha membawa pulang baki karya seni lain, aset tersembunyi, akaun luar pesisir dan hasil jualan aset yang masih berada di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejayaan pemulihan aset perlu disusuli reformasi institusi secara menyeluruh bagi memastikan tragedi sama tidak berulang pada masa hadapan.
Katanya, antara langkah yang perlu diberi perhatian termasuk memperkukuh mekanisme semak dan imbang institusi kewangan negara, meningkatkan ketelusan dana awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selain memperkasakan perlindungan kepada pemberi maklumat.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diketuai Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berjaya membawa pulang empat lukisan ternama yang sebelum ini dibeli menggunakan dana 1MDB di rumah lelong Sotheby’s di New York.
Empat lukisan berkenaan ialah karya oleh Joan Miró bertajuk Composition (1953) dengan nilai pembelian AS$93,750; karya Maurice Utrillo bertajuk Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934) bernilai AS$50,000; karya Balthus bertajuk Étude pour femme couchée (1948) bernilai AS$28,125; dan karya Pablo Picasso bertajuk L’Ecuyère et les clowns (1961) bernilai AS$26,250.
Semua karya itu keseluruhannya bernilai AS$198,125 bersamaan RM786,556. – KOSMO! ONLINE














