fbpx
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh yang ditemui pada sidang akhbar sempena Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

BAM kekal tenang nilai prestasi Piala Thomas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memilih untuk tidak terburu-buru membuat sebarang keputusan susulan pencapaian skuad negara pada saingan Piala Thomas 2026, sebaliknya kekal berpegang kepada pelan jangka panjang yang telah dirangka.

Setiausaha Agungnya, Datuk Kenny Goh menegaskan prestasi pasukan perlu dinilai secara menyeluruh tanpa dipengaruhi reaksi spontan setiap kali tamat kejohanan besar.

Menurut beliau, hala tuju utama BAM ketika ini masih tertumpu kepada misi jangka panjang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 yang menjadi sasaran utama badan induk itu.

“Penjelasan saya masih sama. Kita ada satu pelan hala tuju iaitu menuju ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan dalam perjalanan itu ada pelbagai sasaran yang perlu dicapai.

“Ada sasaran yang kita capai dan ada juga yang tidak. Tetapi kita tidak seharusnya membuat reaksi melulu setiap kali tamat sesuatu kejohanan,” jelasnya.

Kenny menambah, pencapaian dalam setiap kejohanan hanyalah sebahagian daripada proses pembangunan, justeru kegagalan tertentu tidak seharusnya dilihat sebagai kegagalan keseluruhan.

Beliau percaya selagi skuad negara masih berada di landasan yang ditetapkan, perkembangan semasa boleh dianggap positif dan terkawal.

“Yang penting selagi kita berada dalam pelan tersebut dan ada sasaran yang berjaya dicapai, itu bermakna kita masih berada di landasan yang betul,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengakui prestasi pemain perseorangan lelaki menjadi antara perkara yang mencuri perhatian, terutama selepas aksi kurang memberangsangkan di pentas antarabangsa.

“Kalau ikutkan memang semua saya risau. Tetapi kita sudah beri segala bantuan dan kemudahan yang diperlukan. Di gelanggang, ia bergantung kepada pemain.

“Namun, setiap kali mereka beraksi, kita sentiasa mengharapkan yang terbaik dan saya percaya mereka akan terus berusaha memberikan prestasi terbaik,” ujarnya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN