KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memulihkan lebih 70 peratus aset berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), bersamaan kira-kira RM30 bilion daripada keseluruhan RM42 bilion yang diselewengkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pencapaian itu merupakan antara kadar pemulihan tertinggi di dunia, berbanding purata global yang kurang daripada 30 peratus.
Menurut beliau, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Malaysia dalam usaha mengesan dan membawa pulang aset yang diselewengkan.
“SPRM telah berjaya memulihkan lebih 70 peratus daripada aset 1MDB iaitu RM30 bilion daripada RM42 bilion, sekali gus merupakan kadar tertinggi di dunia berbanding purata global kurang daripada 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Anugerah Media SPRM Kali ke-6 2026 di sini, malam ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Azam memaklumkan kerajaan Malaysia yang diterajui SPRM turut berjaya membawa pulang empat karya seni bernilai hampir RM800,000 yang sebelum ini dibeli menggunakan dana 1MDB yang diselewengkan.
Tambah beliau, usaha turut giat dijalankan untuk mendapatkan semula tujuh lagi karya seni yang kini disimpan di rumah lelong barangan mewah Christie’s di Amerika Syarikat.
Pada Selasa lalu, SPRM memaklumkan empat karya tersebut ialah Joan Miró menerusi karya Composition (1953), Maurice Utrillo melalui Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934), Balthus dengan karya Etude pour femme couchée (1948) serta Pablo Picasso menerusi L’Ecuyere et les clowns (1961).
SPRM memaklumkan kesemua karya seni itu ditempatkan di lokasi khas dengan kawalan keselamatan ketat dan sedang melalui proses penstabilan persekitaran bagi memastikan pemeliharaan optimum sebelum proses pembukaan, pengesahan dan penilaian dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN). – KOSMO! ONLINE














