fbpx
Gambar hiasan

Aset 1MDB: Sokong usaha, ketelusan perlu diperkukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Komitmen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan keselamatan serta pemuliharaan aset negara, khususnya karya seni bernilai tinggi yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), terus mendapat perhatian.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim berkata, kerjasama strategik antara SPRM dan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) merupakan langkah progresif yang bukan sahaja menjaga integriti fizikal barang kes, malah mencerminkan kesungguhan negara dalam mengurus aset rampasan secara profesional dan berpiawaian tinggi.

Menurutnya, pendekatan itu wajar dilihat sebagai penanda aras baharu dalam pengurusan barang kes berprofil tinggi, terutama yang melibatkan nilai ekonomi dan simbolik besar kepada negara.
“Cadangan untuk mempamerkan karya seni ini kepada umum selepas proses perundangan selesai juga perlu disokong kerana ia mampu menjadi instrumen pendidikan awam mengenai bahaya rasuah serta ketirisan aset negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek ketelusan dan akauntabiliti tidak boleh diketepikan.

Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian serius termasuk pelaporan berkala kepada awam mengenai status pemilikan, nilai semasa dan perkembangan kes pelucutan hak bagi mengelakkan persepsi salah.

“Setiap aset yang berjaya diselamatkan adalah simbol kemenangan rakyat Malaysia terhadap rasuah dan tanggungjawab bersama memastikan kemenangan ini tidak disia-siakan akibat kelemahan tadbir urus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN