fbpx

Mamat legenda genius – Tiara Jacquelina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIARA JACQUELINA mendedahkan masih ada projek istimewa yang direncanakan bersama Allyahyarham Mamat Khalid, namun tidak kesampaian.

PETALING JAYA – Menganggap Allahyarham Mamat Khalid sebagai legenda genius, jauh di sudut hati Puan Seri Tiara Jacquelina masih terdetik rasa terkilan kerana tidak dapat merealisasikan sebuah projek istimewa bersama yang dirancang sejak lama.

Dedah aktres dan penerbit popular itu, Mamat pernah cuba memujuk dengan berjanji kepadanya untuk menghasilkan sebuah naskhah yang lebih hebat daripada Puteri Gunung Ledang (PGL) disebabkan tidak berpuas hati dengan pencapaian filem berkenaan dalam sebuah penganjuran festival filem tanah air.

“Saya sudah lama menanti untuk merealisasikan projek itu… bertahun-tahun.

“Saya masih ingat lagi engkau (Mamat) bengang sangat dengan juri sebuah pertandingan pesta filem ketika saya tewas kategori Pelakon Wanita Terbaik.

“Engkau berjanji untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada PGL. Sepatutnya saya ‘kurung’ engkau macam zaman PGL dulu, dalam satu bilik dan jangan keluar selagi tak habis skrip.

“Sekarang saya terpaksa tunggu sampai kita berjumpa di akhirat, suatu hari nanti,” katanya dalam sebuah hantaran penuh syahdu menerusi Instagramnya.

Bintang PGL itu bagaimana pun reda dengan kehilangan seorang sahabat baik yang dianggap sebagai abang namun kelu sebaik mendapat perkhabaran menyedihkan pada awal pagi tadi.

“Saya akan merindui seorang abang yang gila-gila tapi sangat genius. Takkan ada pengganti seperti kamu lagi, selepas ini. Kamu tersendiri dan legenda,” katanya lagi.

Allahyarham Mamat, 58, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, pukul 12.30 tengah malam tadi.

Tiara yang dihubungi anak Allahyarham sendiri bagi memaklumkan berita berkenaan berkata, asalnya dia merancang menemui Mamat sebaik pandemik berakhir.

“Mamat, saya tunggu pandemik ini berakhir agar dapat berjumpa semula dengan engkau. Malangnya, takkan terjadi.

“Ketika kali pertama engkau masuk hospital beberapa tahun lalu, sayalah orang pertama yang sampai sejurus mendengar perkhabaran itu.

“Terkejar-kejar kerana sangkanya, ketika itu, akan kehilangan engkau. Ketika itu, saya sangat kecewa kerana engkau masih tidak berhenti merokok.

“Nasib baik Tuhan bagi peluang dua tiga kali selepas itu. Isteri engkau sendiri pun tidak berjaya membuatkan engkau berhenti merokok. Jadi, saya pun putus asa hendak berleter lagi,” katanya.

Aktivis teater itu tidak ketinggalan mengimbas kenangan sepanjang persahabatan yang cukup serasi disebabkan mempunyai banyak persamaan dalam segala segi hingga mempunyai ‘bahasa’ yang hanya difahami mereka berdua sahaja.

“Kami layan lagu album irama blues The Healer daripada penyanyi John Lee Healer. Sama juga obsesi mengarut kami terhadap lagu Camptown Races.

“Bait lirik lagu itu berbunyi ‘Camptown ladies sing this song doodah doodah’ mahu saya nyanyikan buat engkau untuk kali terakhir.

“Lawak kita, cuma kami sahaja faham. Sampai abang Mat London pun pelik, apa jugalah kami gelak terkekek-kekek. Tetapi itukah permulaan nilai persahabatan kami,” tambahnya.

Keakraban yang terjalin jugalah yang menjadi permulaan kerjasama dalam berkarya dengan penerbitan untuk layar kaca sehingga terhasilnya naskah mega PGL.

“Lalu kami bekerjasama menghasilkan karya seni seperti cerita Pukul Dua Petang, Rombongan Cik Kiah, Mat Nor Khushairi & The Velvet Boys, Hari Raya Abdullah Rafie, Peristiwa di Rumah Tok Su dan Spanar Jaya.

“Seterusnya ke karya agung arwah untuk saya, filem PGL. Selepas itu, engkau terus terbang tinggi dengan menghasilkan karya seni yang saya tonton dengan rasa bangga.

“Aku rindu kau, sahabatku yang genius. Tiada lagi sepertimu. Kau akan sentiasa kekal original, seorang legenda,” ungkap Tiara lagi.

Sebagai rekod, idea asal filem epik kebanggaan negara yang turut meraih pelbagai anugerah adalah daripada Mamat sendiri bersandarkan kertas cadangan kisah bersiri untuk naskhah televisyen yang kemudian diangkat Enfiniti Productions ke layar perak.

PGL yang menggandingkan Tiara dan Datuk M. Nasir menonjolkan keistimewaan naskah seni tempatan apabila ditayangkan di festival filem luar negara termasuk di Venice dan Los Angeles. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI