fbpx
ANTARA adegan menarik sewaktu pementasan Roro Jonggrang di Dewan Learning Space, UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Siswa Indonesia, Malaysia bersatu, pentaskan legenda Jawa ‘ngomong’ Inggeris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UNIVERSITAS Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Indonesia dan Universiti Malaya (UM) berjaya membuktikan bahawa sebuah kolaborasi unik mampu dicapai meskipun terpisah jarak serta geografi.

Itulah yang dapat disimpulkan apabila menyaksikan pementasan teater Roro Jonggrang yang berlangsung di Dewan Learning Space, Fakulti Bahasa dan Linguistik UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi dedikasi tenaga pendidik dan penuntut Fakulti Bahasa daripada kedua-dua institusi itu, teater berskala kecil berkenaan lebih daripada sekadar pengalaman rentas budaya dan pengisian akademik.

Menurut pensyarah dan penulis skrip UMY, Puthut Ardianto, setiap pensyarah memiliki tugas untuk melaksanakan projek pembangunan komuniti pada setiap tahun.

“Kebetulan pada tahun ini, saya dapat berkolaborasi dengan universiti di luar UMY iaitu UM yang mempunyai kelab teater.

“Cerita ini dipilih kerana di UMY, saya memiliki latar belakang dalam bidang pedagogi persembahan, selain minat mendalam terhadap kesusasteraan cerita rakyat,” katanya kepada K-Kampus.

Jelasnya, teater yang dipersembahkan dalam bahasa Inggeris itu mengangkat kisah legenda Jawa Tengah iaitu tentang Roro Jonggrang, seorang puteri yang disumpah menjadi patung batu oleh Bandung Bondowoso.

“Semua itu terjadi gara-gara terbongkar helah Roro Jonggrang dalam menggagalkan syarat menyiapkan 1,000 candi dalam satu malam sebagai mahar perkahwinan.

“Kisah yang sarat soal cinta, pengkhianatan dan dendam ini menjelaskan asal-usul kewujudan Candi Prambanan, Candi Sewu dan arca Durga,” katanya.

Ditanya mengenai masa dan jumlah petugas, Puthut memberitahu, persembahan itu digerakkan oleh 21 kru termasuk 14 pelakon dan ia melalui tempoh latihan sangat pendek serta kritikal.

TENAGA produksi teater Roro Jonggrang bangga dapat menjayakan pementasan mereka, meskipun berdepan kekangan tempoh latihan. – foto ihsan UM

Akuinya, tenaga produksi dari kedua-dua negara pada awalnya cuma menjalankan sesi praproduksi seperti perbincangan, pemilihan watak, pembacaan skrip dan latihan awal menerusi komunikasi online, sebelum bertemu lima hari sebelum pementasan.

Bagi pensyarah linguistik UM, Marc Vernon Bligh, cabaran awal yang dihadapi tentunya berkaitan proses mengenali watak serta cerita rakyat Jawa yang mungkin agak asing bagi orang Malaysia.

“Namun, itu kesempatan yang baik kerana objektifnya adalah supaya para pelajar yang terlibat sebagai pelakon ini terdedah kepada kepelbagaian budaya.

“Ini seterusnya dapat membentuk bagaimana para pelakon terlibat hendak menyampaikannya kepada audiens tempatan,” ujarnya yang turut menggalas tugas sebagai pengarah bersama.

Tambah Vernon, ketika proses perbincangan dan pembacaan skrip secara dalam talian, banyak yang ditanyakan oleh para pelajar tentang cerita legenda itu, malah mereka turut membuat rujukan perbandingan dengan kisah tempatan.

“Menarik juga apabila melihat para pelajar ini tekun mempelajari setiap baris dialog kerana mereka perlu faham terlebih dahulu emosi yang hendak ditunjukkan, sama ada sedih, marah atau gembira,” katanya.

Sementara itu, bagi pembawa watak Roro Jonggrang, Dharyaasri Karthigesan, dia mengakui dirinya dapat merasakan kehidupan dan jiwa masyarakat Jawa saat menyarungkan persalinan yang sarat nilai tradisi tersebut.

“Saya sendiri tidak tahu kekayaan hikayat dari rantau Nusantara jika tidak terlibat dalam projek ini.

“Ia sekali gus melahirkan rasa tanggungjawab untuk membawakan watak ini sebaik mungkin,” kata penuntut Fakulti Bahasa UM itu.

Bagi penuntut bidang perubatan di UM, Gurjit Sadu Singh, dia mengaku teruja saat mengetahui tentang uji bakat pemilihan pelakon produksi Roro Jonggrang di universiti.

“Sejak zaman sekolah saya sudah aktif dalam bidang teater. Memang saya meminati dunia drama dan lakonan, malah sangat tertarik dengan seni audio serta sinematografi.

“Apabila saya mendengar khabar tentang projek ini, terutamanya peluang untuk bergabung dengan perwakilan dari Indonesia yang membawa budaya mereka, saya nekad mencuba nasib,” ujar Gurjit yang berjaya memegang watak sebagai putera Bandung Bondowoso.

Gurjit turut memaklumkan, dia turut mengumpul maklumat mengenai wataknya menerusi pelbagai sumber sambil dibantu perwakilan UMY.

Meskipun pementasan skala kecil itu berdepan keterbatasan dari pelbagai aspek, namun sambutan penonton dalam dua sesi persembahan sangat memuaskan.

Secara keseluruhannya, teater itu bukan sahaja soal pengisian jam akademik dan meraikan seni budaya, ia menjadi jambatan yang menghubungkan potensi kerjasama serta eksperimen kreatif antara dua negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN