PETALING JAYA – Malaysia dijangka memulakan pengeluaran roket dalam tempoh dua tahun menerusi kerjasama strategik antara Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dan syarikat aeroangkasa serta teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International Pty. Ltd. (RTI).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu turut membuka laluan kepada pengeluaran misil pada masa depan sekali gus memperkukuh keupayaan industri pertahanan negara.
Menurut beliau, projek berkenaan bukan sekadar melibatkan pengeluaran roket, malah menjadi platform untuk meningkatkan keupayaan industri pertahanan tempatan menerusi pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran.

“RTI mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang ini. Kerjasama bersama Weststar akan membuka ruang kepada pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan serta kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi.
“Kerjasama ini bukan sekadar melibatkan aspek pengeluaran, malah turut merangkumi pembinaan kemudahan pengeluaran di Malaysia yang dijangka memulakan pengeluaran roket dalam tempoh dua tahun sebelum berkembang kepada pengeluaran misil pada masa hadapan,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke
Australia.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Weststar Group menerusi Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dengan RTI di National Convention Centre, Canberra.
Perjanjian tersebut dimeterai antara Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim dan Pengasas RTI, Allan James Payne.
Menurut Mohamed Khaled, kerajaan menyambut baik kerjasama strategik itu kerana ia selaras dengan usaha membangunkan keupayaan tempatan dalam pembangunan dan pengeluaran roket serta misil.
Katanya, pelaburan yang dilakukan Weststar juga membolehkan Malaysia menyertai rantaian pembekalan global RTI.
“Ini sekali gus membuka peluang kepada industri tempatan untuk berkembang dalam ekosistem pertahanan antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, kerjasama tersebut turut menyokong aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang memberi penekanan kepada pembangunan industri pertahanan tempatan dan keupayaan pertahanan negara yang berdaulat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Australia atas sokongan terhadap kerjasama strategik serta pemindahan teknologi antara RTI dan Weststar.
Menurutnya, pelaburan berkenaan bukan sahaja memberi pulangan kepada industri pertahanan negara, malah menjadi pelaburan strategik untuk generasi akan datang.

Sepanjang lawatan itu, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles.
Katanya, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama pertahanan sedia ada serta meneroka peluang baharu yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua negara.
Beliau berkata, hubungan pertahanan Malaysia dan Australia diharap terus diperkukuh demi kepentingan bersama serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Pada lawatan itu juga, delegasi Malaysia turut diberikan sambutan rasmi di Parliament House, Canberra oleh Speaker of the House of Representatives, The Hon. Milton Dick MP.
Lawatan itu turut disertai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datin Paduka Sharrina Abdullah.
Katanya, pertemuan seperti itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Australia untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama strategik yang telah sekian lama terjalin.

Selain itu, delegasi Malaysia turut mengadakan kunjungan ke Institute for Space, Defence and Advanced Technologies (ISDAT) di University of Southern Queensland.
Lawatan berkenaan memberi peluang kepada delegasi meninjau penyelidikan dalam bidang teknologi aeroangkasa, bahan komposit serta teknologi hipersonik yang dibangunkan melalui kerjasama universiti dan industri pertahanan.
Mohamed Khaled berkata, pendekatan menggabungkan kepakaran institusi akademik dengan pemain industri seperti yang diamalkan di Australia mampu menjadi contoh dalam memperkukuh agenda penyelidikan dan pembangunan pertahanan Malaysia selaras dengan aspirasi DIPN.














