fbpx
AQASHA diumumkan bakal menggalas watak Hang Tuah dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang tahun ini.

Aqasha sah pegang watak Hang Tuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kemunculannya dinanti ramai, pelakon Aqasha diumumkan bakal memikul peranan sebagai Hang Tuah dalam pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) yang dijangka berlangsung pada Oktober depan.

Pemilihan pemilik nama penuh Firdee Akassya Rosli, 43, sebagai Hang Tuah adalah disebabkan kematangan dan kemampuannya dalam memberi emosi untuk watak tersebut.

“20 tahun lalu, dia pernah memasuki dunia PGL sebagai Bendahara Melaka dan merupakan pelakon ganti atau simpanan untuk watak Hang Tuah.

“Selepas dua dekad, takdir tersebut bertaut. Dia kembali menghidupkan salah satu figura ikonik dan disayangi dalam legenda Melayu.

“Seorang pahlawan yang terikat dengan daulat, kesetiaan dan pengorbanan namun tetap manusiawi,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Penyanyi lagu Embun itu juga disifatkan sebagai pelakon era baharu yang mampu membawa pembaharuan dalam watak Hang Tuah yang sebelum ini dipegang oleh Stephen Rahman.

“Selepas bertahun-tahun menempa perjalanan sebagai pemuzik, penyanyi dan pelakon — dia kembali.

“Untuk generasi baharu PGL, kami mencari seorang pengkarya yang bukan sahaja mampu membawa kekuatan Hang Tuah tetapi jiwa, kematangan dan kejujuran dalam emosi,” ujarnya lagi.

Semalam, penyanyi Aisha Retno dan pelakon Mila Mohsin disahkan sebagai pemilik watak Puteri Gunung Ledang tahun ini.

Sebelum itu, Mimi Fly dan Nadia Aqilah dipilih memegang watak Bayan iaitu pembantu setia puteri, manakala Luqman Hafidz diamanahkan membawa watak Sultan Melaka dan Yusuf Hashim pula memegang peranan sebagai Gusti Adipati.

Pementasan semula PGL The Musical yang diterajui Penerbit Eksekutif dan Pengarah, Tiara Jacquelina dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026.

PGLM merupakan adaptasi filem epik tahun 2004 yang kemudian diangkat ke pentas teater dan mendapat sambutan luar biasa, sekali gus menjadikannya antara naskhah paling gah dalam sejarah seni persembahan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN