KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Rohingnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan atas pertuduhan merompak bersenjatakan pisau kediaman legenda badminton negara Datuk Razif Sidek pada Mei lalu.
Bagaimanapun tertuduh Mohamad Fawyas Yasin, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merompak harta, milik Datuk Mohamad Razif Mohd. Sidek, 64, dan semasa melakukan rompak itu, tertuduh bersenjatakan pisau.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Damansara, TTDI di sini pukul 12.20 tengahari pada 19 Mei lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca Bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha tidak menawarkan jaminan berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh satu kesalahan serius.
“Walaupun tertuduh dibawah perlindungan dan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), semakan mendapati kad tersebut telah luput selain tertuduh tidak mempunyai alamat tetap.
“Sekiranya jaminan diberikan dan tertuduh tidak hadir ke mahkamah, sukar untuk menjejaki keberadaannya. Selain itu, tertuduh juga mengetahui alamat mangsa yang juga saksi dalam kes ini dan dikhuatiri saksi-saksi akan diganggu,” kata Banusha.
Bagaimanapun, peguam Mansheel Kaur yang mewakili Mohamad Fawyas memohon mahkamah memberikan jaminan dengan alasan tertuduh merupakan penanggung utama keluarga yang mana isterinya tidak berkerja termasuk mempunyai seorang bayi yang baru berusia 10 bulan.
“Tertuduh bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM50 sehari. Dia telah tinggal di negara ini selama 15 tahun. Berhubung dengan kad luput UNCHR, difahamkan kad tersebut dalam proses untuk diperbaharui,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Siti Shakirah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Julai ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














