fbpx
BALKONI kecil bersebelahan bilik utama dijadikan pejabat mini yang nampak eksklusif.

Transformasi balkoni kamar tidur jadi pejabat mini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILIK tidur merupakan ruang peribadi yang bukan sahaja menjadi tempat beristirahat selepas seharian penat bekerja, tetapi ruang itu juga menjadi tempat untuk kita bersantai dan meluangkan masa bersama diri sendiri atau pasangan.

Justeru, rekaan bilik tidur hendaklah relaks, santai, kemas dan cantik dengan pilihan konsep bergantung kepada kemahuan pemilik rumah itu sendiri agar mereka selesa meluangkan masa di dalam ruang tersebut.

Tidak kurang juga ada yang mahukan bilik tidur persis di hotel bagi membangkitkan mood relaks dan santai agar badan serta fikiran berasa tenang selain dapat meredakan stres seolah[1]olah sedang bercuti.

Baru-baru ini, Arif Latif Deco Design merealisasikan hasrat seorang pemilik rumah yang menginginkan konsep hotel di bilik tidur utama selain mahu dibina satu ruang pejabat mini bersebelahannya.

Menurut pemilik syarikat rekaan dalaman tersebut, Muhammad Arif Abd. Latif, pihaknya mengubah ruang balkoni bersebelahan bilik tidur utama itu untuk ditukar wajah menjadi pejabat mini.

 

SEBUAH kerusi single diletakkan bersebelahan katil untuk pemilik bersantai membaca buku.

“Hasil gabungan ini, ia seolah-olah membawa pemilik di dua lokasi berbeza hanya beberapa langkah iaitu ‘bilik hotel’ dan pejabat yang dipisahkan oleh sliding door.

“Rekaan sebegini sangat praktikal pada masa sekarang yang mana ramai orang perlu bekerja dari rumah dan mereka mahu melaksanakan tugas itu dengan lebih fokus serta tenang,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Dalaman, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu.

Jelas Muhammad Arif, pihaknya mengubah suai sendiri kabinet di pejabat mini tersebut memandangkan saiz balkoni itu agak kecil dan sukar mendapatkan item dekorasi atau perabot yang sesuai dengannya di pasaran.

Walaupun ruang itu asalnya sebuah balkoni, tetapi apabila pemilik melangkah masuk ke pejabat mini tersebut dia dapat merasakan seperti berada di tempat kerja dengan dilengkapi pelbagai keperluan seperti mesin cetak, komputer, kerusi, meja dan kabinet untuk menyimpan dokumen.

Bercerita lanjut mengenai bilik tidur persis hotel itu, beliau menggunakan item dekorasi dan perabot berkualiti tinggi sesuai dengan kehendak pemiliknya yang mahukan ruang tersebut kelihatan mewah.

“Sebagai contoh, saya meletakkan tilam yang mahal bagi mendapatkan keselesaan maksimum dan juga menggunakan aksesori bagi menaikkan mood seolah-olah berada di hotel.

 

RUANG-RUANG di dalam bilik tidur digarap dengan susun atur persis hotel.

“Bilik ini dilengkapi almari baju, meja bersiap, kabinet televisyen dan pencahayaan lampu kuning bagi membangkitkan mood hotel itu,” ujarnya yang turut membuat reka bentuk tandas seperti di hotel.

Ruang tersebut diberi sentuhan yang tidak terlalu sarat dengan perabot atau item dekorasi minimum sesuai dengan pemiliknya yang berstatus bujang, tetapi bilik itu masih tampil eksklusif dengan permainan warna seperti hitam, krim dan kelabu.

Di bilik tidur itu Muhammad Arif hanya meletakkan satu kerusi single untuk pemilik bersantai membaca buku.

Kos pengubahsuaian dan dekorasi bilik tidur utama serta balkoni itu bermula RM10,000 bergantung kepada pemilihan perabot dan barangan yang digunakan.

POPULAR

BERITA BERKAITAN